Penyanyi, Tomok akui dua anak terunanya, Arrian Shah Akid dan Andra Shah Akid menunjukkan minat untuk menyertai program realiti popular Talk To My Manager.
Menurut Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, anak-anaknya sering mengikuti program tersebut setiap minggu dan pernah menyuarakan hasrat mereka untuk turut serta dalam rancangan berkenaan.
“Setiap minggu mereka akan tengok dan mereka juga pernah menyuarakan kepada saya untuk menyertai program ini. Banyak kali dia cakap dengan saya.
“Tapi saya buat layan tak layan, saya kata nanti dulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Tomok menjelaskan bahawa buat masa ini dia mahu anak-anaknya memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.
Namun, tidak menolak untuk memberi peluang kepada anaknya untuk menyertai program itu jika ada tawaran kelak.
“Saya nak dia fokus belajar dulu sebab apa-apa sahaja yang kita buat, ilmu itu kita kena letakkan di tangga yang nombor satu. Tapi itulah, dia dah cakap banyak kali susah juga, InsyaAllah la,” tambahnya.
Terdahulu, Tomok berkongsi video anaknya Arrian dan Andra cuba membuat persembahan difahamkan mahu menunjukka bakat kepada bapanya untuk menyertai program Talk To My Manager.