Skip to main content

Rancangan Realiti

Talk To My Manager: Dikritik Kurang Sopan, Siti Sairah Pilih Untuk ‘Simpan’ Amad Daripada Temu Bual – “Saya Tahu Kelemahan Anak Saya”

sairah

Penyanyi Siti Sairah tampil bersuara selepas anaknya yang juga bintang Talk To My Manager (TTMM), Ahmad Dayyan atau Amad, dikritik hebat kerana dikatakan memberi jawapan kurang sopan ketika ditemu bual oleh media baru-baru ini.

Sairah atau nama sebenarnya Siti Saerah Tarudin, 42, mengakui sudah menegur anaknya itu dan berjanji akan membimbing Amad agar lebih peka dalam berkomunikasi pada masa akan datang.

Advertisement

“Buat masa ini, dalam usianya yang masih muda dan baru mengecapi populariti, dia mungkin agak terkejut. Jadi saya perlukan sedikit masa untuk betulkan cara dia.

“Saya sudah berpesan supaya dia tidak membaca komen netizen dan hanya mengambil teguran untuk belajar daripada kesilapan. Saya tidak beri tekanan atau marah, sebab nak tegur anak-anak pun ada caranya. Insya-Allah saya tahu Amad anak yang baik,” katanya.

Menurut Sairah, situasi semasa temu bual itu mungkin menyebabkan jawapan yang diberikan anaknya disalah tafsir oleh orang ramai.

“Sebenarnya sedikit pun Amad tidak bermaksud seperti apa yang disampaikan. Saya pun terasa juga bila baca komen netizen sebab situasi ketika temu bual itu berbeza. Bila dikongsi di media sosial, ia nampak lain.

“Saya menerima semua teguran itu dan akan terus membimbing Amad sedikit demi sedikit kerana dia masih baru dalam industri,” ujarnya.

Menariknya, Saerah turut mendedahkan dia kini memilih untuk tidak lagi membawa anaknya ke hadapan media bagi mengelakkan salah faham atau manipulasi terhadap karakter sebenar Amad.

“Saya memilih jalan untuk saya sahaja ke depan, tak perlu lagi expose anak saya depan wartawan sebab saya tahu kelemahan dia.

“Saya tidak mahu orang manipulasi karakter dia. Lebih baik saya ambil tindakan sebegini supaya anak saya tidak perlu ke depan lagi, biar saya sahaja,” jelasnya.

Dalam masa sama, Saerah turut memohon maaf sekiranya tindakan atau percakapan anaknya sebelum ini menyinggung mana-mana pihak.

“Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf jika cara anak saya bercakap membuatkan orang terasa. Sebagai ibu, saya akan mendidik dia dengan lebih baik. Doakan supaya Amad belajar daripada kesilapan dan lebih peka dengan situasi sekeliling,” katanya.

Sebelum ini, Amad menerima kecaman apabila cara dia menjawab soalan media selepas konsert mingguan TTMM disifatkan tidak sopan. Malah, netizen turut membandingkan cara komunikasinya dengan kakaknya, penyanyi Umairah, yang dianggap lebih profesional.

Terdahulu, Amad menerima kritikan netizen selepas gaya percakapannya ketika ditemu bual disifatkan kurang sopan. 

Malah, ada yang membandingkan sikapnya dengan kakaknya, penyanyi Umairah, yang dikatakan lebih profesional ketika berdepan media.

Must-Watch Video

Advertisement