Bintang Talk To My Manager (TTMM), Liza Hanim dan Marsya Qistina meluahkan rasa syukur dan bangga selepas dinobatkan sebagai juara sulung program realiti tersebut pada malam Ahad.
Menurut Liza, kemenangan itu merupakan hasil usaha keras Marsya yang sentiasa memberikan komitmen penuh terhadap setiap tugasan mingguan sepanjang pertandingan berlangsung.
Advertisement
“Syukur, alhamdulillah sebab dia berusaha sangat-sangat keras. Kerana cabaran yang manager dia bagi pun bukan calang-calang sebenarnya. Dan saya sangat bangga sebab setiap minggu dia menerima cabaran itu dan lakukan mengikut apa yang sudah dirancang.
“Dia seorang anak yang sangat-sangat taat, dan banyak cabaran sebenarnya pasal dia masih belajar jadi banyak cabaranyan disitu. Jadi saya pun kena mainkan peranan nak menjaga emosi dia supaya stabil,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Liza Hanim mengakui kemenangan tersebut turut menjadi penawar buat dirinya yang sebelum ini belum pernah menjuarai mana-mana pertandingan nyanyian besar termasuk Gegar Vaganza (GV).
“Kalau semua orang tahu saya dah pernah masuk GV dua kali, saya menang tapi ditempat kedua bukan di tangga pertama. Saya terima itu rezeki saya cuma malam ini (Ahad) saya mendoakan agar biarlah tempat kedua itu menjadi milik saya dan tempat pertama buat anak saya.
“Saya tak mahu anak saya di tempat kedua seperti mama dia jadi itu doa saya. Dia selayaknya berada di tempat yang setinggi-tingginya. Kerana disetiap persembahan dia saya mahi dia berada di atas,” katanya lagi.
Mengulas mengenai wang kemenangan yang diterima, Liza mendedahkan mereka masih belum memutuskan penggunaannya.
Namun Liza memberi kebebasan kepada anak perempuannya itu untuk berbelanja barang keperluannya.
“Kami tidak terfikir nak buat apa dengan duit tu lagi, tapi sebelum menyertai TTMM Marsya ada cakap dia nak bayar yurang pengajian dia. Saya rasa sejuk perut saya bila dengar perkara itu.
“Tapi duit itu adalah milik dia, buatlah apa yang dia mahukan. Tentang pengajian masih lagi menjadi tanggungjawab saya dan suami. Nak belanja beli buku ke apa silalah, tapi kalau nak bayar yuran jangan sebab itu tanggungjawab ibu bapa dia,” tambahnya.
Menyampaikan lagu Jangan Mati Rasa Itu dan Lay Me Down bersama penyanyi, Aisha Retno, Marsya berjaya memperoleh 84.83 peratus markah keseluruhan sekali gus dinobatkan sebagai juara bersama ibunya, Liza Hanim.
Hasil kemenangan tersebut telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi.
Mereka berdua juga berjaya membawa pulang anugerah Manager Artis With Sisters Energy dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.