Bintang Talk To My Manager (TTMM), Ehmad Hadie meminta netizen untuk berhenti mengecam ibunya, Ina Naim kerana bimbang akan memberi kesan buruk kepada semangatnya.
Menurut Hadie, tindakan ibunya itu hanyalah sebagai usaha mempertahankan diri agar tidak terlalu terkesan dengan komen pedas juri.
“Mak siapa yang sanggup biar anak dia kena kritik? Seorang mak, kasih sayangnya lain pada anak sulung sebab dialah yang paling lama dengan dia. Anak mana yang nak biarkan mak dia kena kecam? Mak seorang saja, dialah wanita sejati, yang paling dipercayai dan syurga kita.
“Janganlah kecam ibu lagi. Dia dah penat, macam-macam usaha dia buat bukan sebab nak nama atau nak ‘bantai’ juri tapi sebab saya.
“Cukup-cukuplah komen negatif, sebab dia selalu baca. Saya takut dia lemah semangat, dan saya pun jadi tak tentu arah. Saya dekat sini pun sebab ibu,” katanya.
Dalam pada itu, Hadie turut memohon maaf kerana tidak berjaya mengawal ibunya pada malam tersebut.
Advertisement
“Saya minta maaf kerana tak menjaga ibu saya ketika itu, patutnya saya kena betul-betul ‘kunci’ ibu saya. Sebenarnya, itu cara dia untuk elak menangis dan tenangkan diri. Ibu senyum dan banyak bercakap supaya tak terlalu sebak,” jelasnya.
Hadie turut menegaskan, komen positif yang diberikan kepadanya tidak sepatutnya disertai dengan cercaan terhadap ibunya.
Terdahulu, Ina Naim menjadi perhatian ramai apabila didakwa terlalu defensif ketika membidas teguran juri selepas persembahan anaknya dalam program berkenaan.