Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyorot perhatian netizen selepas memuat naik satu hantaran di Instagramnya.
Menerusi hantaran di Instagram Story itu, Siti Nurhaliza seperti memberi bayangan tentang apa yang berlaku kepada anak saudaranya, Ahmad Dayyan.
“Bismillah 5,” tulisnya ringkas.
Pelantun lagu Seindah Biasa itu sempat menitipkan kata-kata semangat buat Amad.
“Tahniah kepada semua pemenang, semuanya dah berikan yang terbaik. Amad masih jauh perjalanan dan semua terjadi ada hikmahnya. Semoga lekas sembuh,”tambahnya.
Bagaimanapun tiada sebarang maklumat lain yang dikongsikan oleh Siti Nurhaliza mahupun pihak keluarga Ahmad.
Terdahulu, beberapa minit sebelum memulakan persembahan, Amad kelihatan kurang sihat selain sempat menyebut ‘sakit’ sebelum cuba ditenangkan oleh ibu serta pihak produksi.
Malah Ahmad difahamkan pengsan sejurus selepas melakukan persembahan terakhir bersama penyanyi Nadeera Zaini menerusi lagu Bukan Lagi Kita untuk konsert Grand Finale.
Menurut pihak produksi, Ahmad kini dalam keadaan baik-baik sahaja dan disahkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Sekadar info, Siti Sairah dan Amad berjaya menduduki tangga keenam dengan markah 52.17 peratus menerusi persembahanya yang membawakan lagu Cinta Kerana Cinta (Judika) dan Bukan Lagi Kita bersama Nadeera Zaini.