Skip to main content

Rancangan Realiti

Talk To My Manager: Ina Naim Nafi Over, Tak Terlintas Pun Nak Lawan Juri - “Selama Ini Orang Tengok Saya Lembut…”

Ina Naim tak over, tak lawan juri

Penyanyi, Ina Naim tampil menjawab dakwaan mengatakan dirinya agak keterlaluan ketika menjawab komen yang diberikan juri jemputan, Datuk Ramli MS kepada anaknya, Hadie dalam program Talk To My Manager (TTMM) pada Ahad.

Menurut Ina, dia bukan bersikap defensif sebaliknya sudah menjangka beberapa kelemahan akan ditegur oleh juri.

Advertisement

Namun Ina memilih untuk bersuara lebih awal agar situasi tidak menjadi terlalu serius atau beremosi.

“Masa duduk dekat atas pentas, saya sudah nampak Tok Ram tengah menulis. Kami ni sebagai manager dalam TTMM memang dah nampak dah malam ni kena bantai.

“Jadi saya sudah nampak kesilapan kesilapan yang Tok Ram akan bagi pada Hadie, itu yang saya cakap. Tapi sebenarnya saya tak nak mood sedih.

“Sebenarnya saya sudah tahu Tok Ram nak cakap apa. Jadi sebelum saya kena bantai, saya bantai dulu,” katanya kepada Gempak.

Kata Ina lagi, walaupun sebelum ini dirinya dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, tetapi kali ini dia merasakan perlu untuk bersikap lebih tegas dalam situasi seperti itu.

“Orang selama ni tengok saya macam lembut sahaja, tetapi kali ini saya berkeras bukan apa, saya nak pertahankan anak saya.

“Dulu arwah ayah dia memang sangat tegas, saya pula pukul anak pun tak pernah, tinggi suara pun tak ada.

“Tapi bila ayah dia tak ada, saya ganti tempat arwah. Insya-Allah, saya tetap begini dan tidak akan berubah,” jelasnya.

Bagaimanapun Ina menjelaskan bahawa tindakannya itu bukanlah satu bentuk penolakan terhadap komen juri, tetapi lebih kepada satu bentuk sokongan terhadap Hadie yang sedang diuji secara mental dan emosi di hadapan umum.

“Tetapi saya tidak ada masalah dengan juri, tak terfikir pun untuk tidak menghormati mereka atau apa.

“Orang lain pun menjawab juga, tapi kami dalam program ini umpama sebuah keluarga. Semua mahu suka suka, tak terlalu serius,” katanya.

Terdahulu, Ina dikatakan bersikap defensif apabila kerap membidas dan seolah-olah tidak mahu menerima komen Tok Ram.

Perbuatannya itu dilihat seperti tidak menghormati juri jemputan semasa siaran langsung TTMM.

Program ini dikendalikan oleh pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri ternama yang terdiri daripada Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal.

Berlangsung selama 7 minggu, konsert Talk To My Manager akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.

Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.

Must-Watch Video