Perkongsian semula (repost) beberapa video berkaitan sihir oleh bintang Talk To My Manager (TTMM), Ahmad Dayyan atau lebih dikenali sebagai Amad, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan warganet.
Menerusi akaun TikTok miliknya, Amad dilihat memuat naik semula beberapa video yang membincangkan mengenai gangguan mistik dan sihir.
Advertisement
Susulan itu, ramai netizen tampil meluahkan rasa simpati serta mendoakan kesejahteraan penyanyi tersebut, apatah lagi selepas insiden dia pengsan sewaktu konsert akhir TTMM baru-baru ini.
Antara komen yang ditinggalkan pengguna media sosial:
“Kesian Amad, kita doa je lah untuk Amad.
“Amad kena kuat. Mistik ni kadang memang wujud. Amad tak ada masalah kesihatan tapi mungkin semangat dia lemah sebab fikir pasal persembahan. Moga cepat sembuh.
“Betul ke Amad kena sihir..sebaknya…” komen beberapa netizen.
Sebelum ini, beberapa minit sebelum memulakan persembahan di pentas Grand Finale TTMM, Amad dilaporkan kurang sihat dan sempat menyebut dirinya ‘sakit’ sebelum ditenangkan oleh ibu serta pihak produksi.
Dia kemudian difahamkan pengsan sejurus selepas menamatkan persembahan terakhir bersama penyanyi Nadeera Zaini menerusi lagu Bukan Lagi Kita.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, memaklumkan Amad kini berada dalam keadaan baik selepas menerima rawatan segera pada malam kejadian.
Untuk rekod, gandingan Amad bersama Siti Sairah menduduki tangga keenam dengan markah keseluruhan 52.17 peratus menerusi persembahan lagu Cinta Kerana Cinta (Judika) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini).
Sumber: TikTok