Skip to main content

Hiburan

Talk To My Manager: Shuib & Thalita Simpati Dengan Keadaan Ahmad - “Dia Sangat Bagus, Waktu Latihan…”

Amad TTMM

Bintang Talk To My Manager (TTMM), Shuib meluahkan rasa simpati terhadap apa yang terjadi kepada rakan seperjuangannya Siti Sairah dan Ahmad Dayyan yang rebah sebelum sempat membuat persembahan dalam Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung pada malam Ahad.


Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, dia telah menerima panggilan kecemasan daripada bapa tiri, Ahmad ang memaklumkan keadaan penyanyi itu tidak baik serta meminta bantuan seorang pengamal perubatan Islam yang dikenalinya.

Advertisement


“Sewaktu Auddra buat persembahan tiba-tiba Idan (panggilan bapa tiri Amad) hubungi saya ketika itu masih siaran langsung. Dia tanya fasal kawan saya yang Ustaz dan beritahu keadaan Amad tidak baik.

“Saya macam terkejut dan bila beritahu Sairah, dia terus cemas. Jadi bila Auddra habis buat persembahan saya terus ke belakang dan lihat keadaan Amad memang saya sedih dan bersimpati,” katanya kepada Gempak. 

Dalam pada itu, Shuib juga berkongsi sempat melihat penyanyi muda itu di belakang pentas dan agak risau dengan keadaannya pada ketika itu

Shuib juga tidak menolak kemungkinan kejadian yang menimpa Ahmad mempunyai kaitan dengan gangguan mistik, memandangkan dirinya sendiri pernah mengalami situasi hampir sama sewaktu arwah isterinya, Siti Sarah, bertanding dalam program Gegar Vaganza (GV) di lokasi yang sama.

“Bila habis persembahan saya dan Sairah pergi ke belakang pentas lihat keadaan dia, memang kesian. Kasut dan baju dia sudah dibuka untuk beri ruang bernafas.Pasukan perubatan pun ada ketika itu dan bila diperiksa semuanya dalam keadaan okay saja. 

“Tapi saya tidak terkejut sangat dengan tempat ini sebab saya pun ada peristiwa mendukung Siti Sarah di sini. Ada satu minggu di pertandingan Gegar Vaganza (GV) yang tiada arwah, saya sudah pun sampai di rumah Ustaz tapi ini semua Allah punya kerja.

“Saya harap Amad tidak putus asa, rezeki dia murah sebab orang buat dia macam itu mesti ada hikmah,” ujarnya.

Sementara itu, anaknya, Tahlita yang turut berada di lokasi kejadian, melahirkan rasa simpati terhadap Amad selepas melihat sendiri usaha gigihnya sepanjang sesi latihan sebelum malam finale berlangsung.

“Saya rasa kesian sangat dengan dia sebab saya tengok latihan dia sangat bagus, vokal dia mantap. Saya habis persembahan untuk tukar baju dia sempat cakap tahniah pada saya, dalam 20 minit tiba-tiba Uncle Idan tanya ustaz duduk mana dan minta nombor telefon,” kongsinya.

Terdahulu, beberapa minit sebelum memulakan persembahan, Amad kelihatan kurang sihat selain sempat menyebut ‘sakit’ sebelum cuba ditenangkan oleh ibu serta pihak produksi.

Malah Ahmad difahamkan pengsan sejurus selepas melakukan persembahan terakhir bersama penyanyi Nadeera Zaini menerusi lagu Bukan Lagi Kita untuk konsert Grand Finale. 

Sekadar info, Siti Sairah dan Amad berjaya menduduki tangga keenam dengan markah 52.17 peratus menerusi persembahanya yang membawakan lagu Cinta Kerana Cinta (Judika) dan Bukan Lagi Kita bersama Nadeera Zaini. 

Must-Watch Video

Advertisement