Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaan anak perempuannya, Thalita, yang kini masih dalam proses pemulihan selepas dijangkiti Influenza A.
Menerusi hantaran di Instagram, Shuib menjelaskan anaknya itu yang juga merupakan bintang program realiti Talk To My Manager (TTMM), baru sahaja selesai menjalani kuarantin minggu lalu namun masih belum pulih sepenuhnya.
Advertisement
“Hari Rabu minggu lepas kuarantin di rumah sampai hari Ahad. Hari Isnin baru mula praktis dan bernyanyi, tapi sampai hari ini (Rabu) suara masih ‘crack’ dan dada sempit, susah untuk bernafas,” tulis Shuib.
Dalam perkongsian sama, Shuib turut menitipkan kata semangat buat anaknya agar terus kuat menghadapi dugaan dan tidak menghiraukan pandangan orang lain.
“Insya-Allah sabar ye sayang, dugaan untuk kita. Biar apa orang nak cakap, asal kita tahu apa yang kita buat.
“Rezeki Allah dah pun tetapkan, kita usaha dan tawakal Thalita. Maafkan daddy letakkan awak dalam situasi begini di usia yang masih muda.
“Just trust the process, perjalanan kita jauh lagi. Semoga yang baik-baik untuk kita dan semua. Daddy selalu ada, sampai daddy menutup mata. You can do this!,” ujarnya.
Terdahulu, Thalita terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan pada konsert akhir TTMM minggu lalu selepas disahkan dijangkiti virus Influenza A dan dinasihatkan untuk menjalani kuarantin.
Namun begitu, pihak produksi TTMM kemudiannya mengumumkan kejutan apabila menambah satu lagi minggu sebagai Grand Finale, susulan sambutan luar biasa daripada penonton.
Difahamkan, perancangan untuk menambah satu lagu minggu itu telah dirancang lebih awal dan semua peserta sudah sedia maklum atas perkara tersebut.
Pengumuman tersebut dibuat oleh pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi (Pak Nil) pada penghujung konsert, sekali gus menyaksikan enam bintang termasuk Thalita (bersama Shuib) bakal kembali berentap di pentas akhir minggu tambahan itu.
Program Talk To My Manager bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi Astro GO serta sooka.