Skip to main content

Rancangan Realiti

Talk To My Manager: “Tak Ada Isu Pun Thalita Ada Atau Tidak..” – Liza Hanim Jelaskan Semua Peserta Sudah Tahu Tentang Minggu Tambahan

ttmm

Bintang Talk To My Manager (TTMM), Liza Hanim dan Marsya mendedahkan mereka sebenarnya sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kejutan tambahan satu minggu untuk konsert grand finale program tersebut.

Menurut Liza, pihak produksi sudah merisik ketersediaan mereka sejak minggu keempat lagi dan memaklumkan tentang tarikh baharu untuk pentas akhir yang ditetapkan pada 12 Oktober ini.

Advertisement

“Kami sudah tahu akan ada penambahan minggu. Pada minggu keempat lagi pihak produksi sudah tanya sama ada kami ‘available’ atau tidak untuk tarikh 12 hari bulan. Kami pun okay.

“Jadi, kami hanya perlu bertahan sahaja sampai ke tarikh itu supaya tidak tersingkir. 

“Tapi walaupun sudah tahu akan ada minggu tambahan, itu tidak bermaksud kami ambil mudah. Setiap persembahan tetap perlu dilakukan dengan sebaik mungkin kerana ia akan diingati sampai bila-bila,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menganggap tidak adil apabila salah seorang bintang TTMM, Thalita masih layak mara ke minggu akhir walaupun tidak membuat persembahan kerana diserang Influenza A, Liza menegaskan isu itu tidak sepatutnya timbul.

Menurutnya, kehadiran atau ketiadaan bintang itu tidak mengubah perjalanan program kerana semua peserta sudah dimaklumkan lebih awal tentang penambahan minggu akhir.

“Saya rasa tiada isu pun. Sama ada Thalita dan Shuib ada atau tidak, mereka tetap akan mara ke pusingan seterusnya. Kami sudah tahu lebih awal tentang perkara itu.

“Sebenarnya kami sedih kerana Thalita tak dapat membuat persembahan beberapa minggu ini. Jadi, kami harap mereka akan kembali dalam keadaan sihat dan kita semua boleh tamatkan TTMM bersama-sama,” ujarnya.

Dalam minggu ini, Marsya dan Liza turut meraih gelaran persembahan terbaik selepas membawakan lagu Bring Me To Life oleh Evanescence.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, sekali gus menjadi suntikan semangat untuk memberikan aksi lebih hebat pada minggu akhir TTMM yang bakal berlangsung tidak lama lagi.


Terdahulu, pihak produksi TTMM mengumumkan penambahan satu minggu lagi untuk grand finale selepas menerima sambutan luar biasa daripada peminat.
 

Pengumuman itu dibuat oleh pengacara Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) di akhir konsert sekali gus menyaksikan keenam-enam bintang iaitu Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib), Hadie (Ina Naim) dan Auddra (Sharifah Shahirah) akan kembali berentap di pentas akhir.

Program ini bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam, dan turut boleh distrim di Astro GO serta sooka.

 

Must-Watch Video

Advertisement