Skip to main content

Hiburan

Talk To My Manager: Tiada Isu ‘Favoritism’, Shuib Lega Thalita Raih Naib Juara - “Kalau Nombor Satu Lagi Teruk…”

Shuib Thalita

Bintang Talk To My Manager (TTMM),Shuib dan anaknya, Thalita meluahkan rasa syukur selepas dinobatkan sebagai naib juara program realiti tersebut. 

Menurut Shuib, keputusan itu dianggap rezeki dan hikmah besar buat mereka selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai isu “favoritism” sepanjang program berlangsung.

“Macam-macam orang cakap dekat saya dan Thalita, topiknya adalah favoritism. Jadi malam ini saya terlalu bahagia dan bersyukur sebab Allah letakkan anak saya nombor dua. Kalau nombor satu saya rasa lagi teruk saya kena bantai,” katanya. 

Shuib menjelaskan bahawa dakwaan berat sebelah itu tidak berasas kerana semua peserta diberikan peluang dan cabaran yang sama oleh pihak produksi dan pengurus masing-masing.

Tambah Shuib, Thalita turut terkesan dengan komen negatif netizen hingga menjejaskan emosinya, lebih-lebih lagi ketika dia tidak sihat.

“Jadi saya nak beritahu tiada sebarang isu favoritism, saya rasa manager semua telah beri jawapan dan pihak Astro juga sama tapi ramai yang tidak hiraukan statement tersebut, kalau betul seperti apa yang dikata kenapa hari ni saya nombor dua? 

“Anak saya betul-betul down kerana komen-komen tersebut, sudahlah kena influenza lepas tu nak kena hadap dengan komen-komen macam itu, dia baru 12 tahun. Kalau malam ni dia juara saya pasti akan ada lebih banyak komen negatif yang dia dapat,” tambahnya. 

Sementara itu, Thalita sendiri berkata dia menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan menganggap rezeki yang diterima sebagai satu pencapaian besar.

“Saya sudah siapkan mental saya tidak kisah dapat nombor berapa sekali pun, saya okay sahaja sebab itu rezeki mereka bukan rezeki saya. Tapi Alhamdulillah saya dapat naib juara,” tambah Thalita. 

Menyampaikan lagu Semakin dan Tiada Logika bersama penyanyi Mimifly, Thalita berjaya memperoleh markah keseluruhan sebanyak 75.08 peratus sekali gus bergelar Naib Juara TTMM. 

Terdahulu, muncul dakwaan bahawa minggu Grand Finale ini diadakan kerana Thalita tidak sihat. 

Bagaimanapun, rakan-rakan peserta menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan mereka semua sudah tahu mengenai penambahan minggu sejak minggu keempat. 
 

Advertisement

Must-Watch Video

Advertisement