Kumpulan Alpha meluahkan rasa syukur selepas berpeluang menghadiahkan dua buah lagu raya kepada peminat sempena musim perayaan tahun ini, termasuk satu kolaborasi istimewa bersama penyanyi dan komposer, Hael Husaini.
Mewakili Alpha, Rizal mengakui sangat teruja kerana dalam tempoh yang singkat mereka sudah menghasilkan beberapa karya termasuk lagu raya iaitu Rindu Raya dan Raya Macam Raya.
“Alhamdulillah, dalam masa yang singkat kami sudah ada dua lagu raya, satu lagu solo dan satu lagi kolaborasi bersama Hael Husaini. Kami sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Hael, salah seorang penyanyi dan komposer yang memang kami pandang tinggi dalam industri,” katanya kepada Gempak.
Tambah Rizal lagi, peluang untuk bekerjasama dengan Hael disifatkan sebagai satu rezeki besar buat mereka, sekali gus menjadi motivasi untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.
“Bila dapat bekerjasama ini, kami rasa ia seperti satu rezeki untuk menerima buah tangan daripada Hael. Jadi sebagai Alpha, kami mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja kami sebaik mungkin sebelum diperdengarkan kepada Alphanites.
“Ramai juga peminat yang bertanya bila kami akan keluarkan lagu baharu. Jadi memandangkan sekarang bulan Ramadan dan Aidilfitri semakin hampir, kami hadiahkan mereka dua buah lagu raya terlebih dahulu,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Izat, setiap penyanyi yang berada dalam industri hiburan pastinya menyimpan hasrat untuk memiliki lagu raya sendiri.
“Untuk kami, bila sudah berada dalam dunia hiburan, mesti kita mahu ada lagu raya. Tetapi yang menjadi kejutan adalah apabila Hael mahu berkolaborasi dengan kami untuk lagu raya ini.
“Sebagai pendatang baharu, peluang ini memang membuatkan kami lebih bersemangat. Jadi kami berharap peminat dapat terhibur dengan lagu-lagu yang kami keluarkan sempena musim perayaan ini,” ujar Izat.
Dengan pelancaran dua buah lagu raya tersebut, Alpha berharap karya mereka dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri selain menjadi hadiah istimewa buat peminat setia mereka yang dikenali sebagai Alphanites.
Rindu Raya dan Raya Macam Raya kini boleh di strim menerusi semua platform penstriman.