Sekilas
- Penyanyi Iran, Anita Papist, hampir dikenakan hukuman 74 sebatan selepas tampil tanpa tudung dalam video muzik yang dimuat naik di media sosial.
- Dia berjaya mengelakkan hukuman tersebut dengan membayar 100 juta toman (RM2,360.40) sebagai ganti hukuman dan denda, namun kerjaya seninya terjejas apabila studionya diarahkan tutup.
- Kes ini mencetuskan perhatian mengenai kebebasan bersuara wanita di Iran, selepas beberapa penyanyi wanita lain turut menghadapi tindakan undang-undang serupa.
Penyanyi wanita Iran, Anita Papist hampir dikenakan hukuman 74 sebatan selepas tampil tanpa memakai tudung dalam sebuah video muzik yang dimuat naik di media sosial.
Bagaimanapun, Anita berjaya mengelakkan hukuman tersebut selepas membayar sejumlah wang sebagai ganti kepada hukuman sebatan dan denda yang dikenakan terhadapnya.
Menurut laporan Wolipop, penyanyi berkenaan membayar kira-kira 100 juta toman, termasuk kos guaman bagi menyelesaikan kes tersebut.
Segalanya bermula apabila Anita memuat naik video nyanyian semula lagu ‘Royaye Azadi’ atau ‘Dream of Freedom’ yang pernah dipopularkan oleh Ebi dan Shadmehr Aghili.
Rakaman suara dilakukan di sebuah studio, manakala video muzik tersebut menjalani penggambaran di Tehran dengan Anita tampil tanpa memakai tudung.
Video berkenaan mendapat perhatian ramai sehingga meraih hampir dua juta tontonan dalam tempoh kurang sehari selepas dimuat naik.
Namun, Anita mendakwa dia hanya mengetahui mengenai tindakan undang-undang terhadapnya ketika mahu meninggalkan Iran.
Ketika berada di lapangan terbang, pasportnya dirampas dan dia dimaklumkan bahawa dirinya tidak dibenarkan keluar dari negara tersebut.
Selepas mendapatkan bantuan peguam, Anita mengetahui bahawa dia telah dijatuhi hukuman 74 sebatan atas beberapa pertuduhan, termasuk dakwaan melanggar peraturan pemakaian tudung dan kesusilaan awam.
“Saya membayar 100 juta toman (RM2,360.40) untuk menggantikan hukuman sebatan serta menyelesaikan denda kerana tidak memakai tudung,” katanya seperti dipetik daripada Euronews.
Menurut Anita, dia dibenarkan menggantikan hukuman sebatan dengan bayaran wang kerana tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
Bagaimanapun, kes tersebut turut menjejaskan kerjaya seninya apabila studio rakaman miliknya diarahkan tutup dan lesen perniagaannya dibatalkan.
Anita turut menafikan dakwaan bahawa dia mengadakan persembahan secara langsung di jalanan.
Sebaliknya, dia menjelaskan bahawa kehadirannya di lokasi berkenaan hanyalah untuk menjalani penggambaran video muzik.
Lebih menyedihkan, Anita turut mendakwa bayaran pencen bapanya dihentikan susulan kes tersebut, sedangkan wang berkenaan sebelum ini digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.
Dalam pada itu, kes Anita bukanlah yang pertama melibatkan penyanyi wanita di Iran.
Sebelum ini, penyanyi Parastoo Ahmadi turut dilaporkan berdepan hukuman 74 sebatan selepas mengadakan persembahan tanpa memakai tudung menerusi sebuah konsert yang disiarkan di YouTube.
Kes tersebut mendapat perhatian pertubuhan hak asasi manusia yang membangkitkan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara dan berkarya dalam kalangan wanita di Iran.
Sumber: Wolipop, IranWire, Euronews.