Sekilas
- Pelakon Shahronizam masih mengalami kesakitan dan pergerakan terhad pada tangan kanan selepas pembedahan membuang tumor pada Oktober lalu.
- Dia perlu berhati-hati dalam aktiviti harian termasuk cara tidur dan memandu, sementara menunggu keputusan biopsi penuh pada 27 November.
- Persatuan Seniman Malaysia telah memberikan sumbangan untuk membantu meringankan beban Shahronizam selepas pembedahan tersebut.
Pelakon, Shahronizam memaklumkan keadaan tangan kanannya masih belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada Oktober lalu.
Menurutnya, pergerakan tangan masih terbatas dan mudah berasa sakit jika digunakan terlalu lama.
“Sekarang ini saya tak boleh kuat sangat. Dua hari lepas saya buat kerja rumah macam angkat barang, terlupa yang saya masih sakit. Jadi sekarang ini sakit semula.
Mungkin kesan pada tulang atau bekas pembedahan, wallahualam kena periksa balik. Tapi selepas pembedahan memang tak ada lagi rasa sakit tumor yang berdenyut.
Yang tinggal cuma sakit luka. Dua hari ini saya terpaksa makan ubat tahan sakit sebab terlebih buat kerja,” katanya kepada Gempak.
Shahronizam itu ditemui ketika program Ziarah Prihatin Seniman 2025 yang singgah ke kediamannya pada Selasa.
Dalam pada itu, Shahronizam juga berkata dia masih perlu berhati-hati dalam melakukan rutin harian, termasuk cara tidur dan memandu. Untuk tidur, saya tak boleh mengiring. Tak boleh lasak sangat.
Sekarang saya masih boleh pandu kereta tapi sebelah tangan. Tangan kanan tak kuat sebab kawasan pembedahan besar dari bahu sampai tulang selangka, bahagian itu dipotong," ujarnya.
Shahronizam kini menantikan keputusan penuh biopsi yang dijangka diterima pada 27 November.
Katanya, jika laporan menunjukkan perkembangan kurang baik, rawatan susulan akan dilakukan.
Dalam lawatan tersebut, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut tampil menghulurkan sumbangan.
Presiden Seniman, Zed Zaidi, berkata bantuan tersebut diberikan bagi meringankan beban Shahronizam.
Sebelum ini, Shahronizam terpaksa menjalani pembedahan selepas doktor mengesan ketumbuhan pada bahagian tulang belikat atau ligamen skapula yang semakin membesar dan berpotensi memudaratkan kesihatannya.