Sekilas
- Teaser foto terbaru menampilkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani dari filem Polis Evo mencetuskan spekulasi misi baharu dalam francais popular ini.
- Foto yang dikongsi di Instagram menunjukkan kedua-dua watak utama dengan gaya serius dan lucu, memberi bayangan jalan cerita baru.
- Polis Evo kini meraikan ulang tahun ke-10 dan terus dikenang melalui kejayaan tiga filem yang mengangkat standard filem aksi tempatan Malaysia.
Satu teaser foto yang menampilkan watak ikonik filem fenomena, Polis Evo iaitu Inspektor Khai dan Inspektor Sani mencetuskan keterujaan dalam kalangan netizen.
Foto yang merakamkan bintang utama Polis Evo iaitu Shaheizy Sam (Khai) dan Zizan Razak (Sani) sekali gus mengundang pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan misi baharu yang bakal dipersembahkan kepada penonton.
Lebih-lebih lagi apabila foto yang dikongsi menerusi Instagram rasmi @astrogempak dan @astroshaw itu merakamkan kedua-dua mereka tampil dengan gaya serius, lucu dan penuh karakter, seolah-olah memberi bayangan kepada sebuah jalan cerita baharu.
Sementara itu, ruangan komen juga dihujani dengan kata-kata positif netizen yang menyatakan rasa tidak sabar menantikan pengumuman seterusnya.
Terdahulu, Polis Evo merupakan antara francais aksi kepolisan terbitan Astro Shaw yang telah mencipta legasi kukuh dalam industri perfileman Malaysia
Buktinya, sambutan ulang tahun ke-10 ‘Wonda-Ful 10 Years’ Polis Evo yang diadakan baru-baru ini menandakan sudah satu dekad francais berkenaan masih kekal diingati oleh peminat filem.
Kejayaan tiga filem di bawah francais ini membuktikan Polis Evo telah mengangkat ‘standard’ filem tempatan melalui kekuatan penceritaan, kualiti visual, strategi pemasaran yang kreatif serta kutipan box-office yang memberangsangkan.
Watak ikonik Shaheizy Sam sebagai Inspektor Khai dan Zizan Razak sebagai Inspektor Sani ternyata masih menjadi impak hingga ke hari ini.