Sekilas
- Zed Zaidi mengakui perubahan positif dalam kalangan pelakon baharu selepas menegur sikap kurang hormat mereka terhadap senior di lokasi penggambaran.
- Zed menegaskan pentingnya sikap saling menghormati dan kerjasama antara pelakon untuk memastikan proses penggambaran berjalan lancar.
- Zed juga bakal kembali berlakon dalam filem aksi berjudul Zero yang mengangkat isu sindiket penjualan organ dan dijangka memulakan penggambaran Disember ini.
Pelakon, Zed Zaidi mengakui mula melihat perubahan positif dalam kalangan pelapis industri seni tanah air selepas menegur sikap segelintir pelakon baharu yang didakwa tidak menghormati senior di lokasi penggambaran.
Menurut Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 45, sejak isu yang dibangkitkan itu tular dan mendapat perhatian, ramai pelakon muda mula lebih terbuka untuk bertegur sapa ketika di set penggambaran.
“Perkongsian saya sebelum ini memang ada impak. Daripada impak media itu sahaja, sudah berjuta-juta orang menonton. Sebab perkara itu pernah berlaku pada saya.
“Pelakon baharu ini kena faham, sistem yang mereka buat di media sosial dan sistem kerja dalam industri kreatif ini berbeza, memang lain cara dia,” katanya.
Zed berkata demikian ketika ditemui pada pra pelancaran filem terbaharu lakonannya, Zero di Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.
Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berkata, sikap saling hormat menghormati perlu ditunjukkan sesama pelakon supaya proses penggambaaran dapat berjalan dengan baik.
“Mereka kena tahu menghormati dan kita perlu bekerjasama supaya tidak merosakkan orang lain. Jangan rasa diri itu terlalu hebat.
“Kita semua kena bekerjasama untuk menjayakan sesebuah karya. Itu perkara paling penting, tak kira muda atau tua,” ujarnya.
Jelas Zed lagi, isu yang disuarakan sebelum ini akhirnya membuka mata ramai pihak, terutama generasi baharu yang masih bertatih mencari rentak dalam industri hiburan.
“Impaknya itu bukan untuk saya sahaja, tapi sebenarnya lebih kepada yang lain juga terutama golongan veteran. Ramai veteran dan senior yang banyak mengadu.
“Jadi, budak-budak baru ini barulah faham bahawa hormat menghormati sesama kita dalam industri sangat penting.
“Dalam industri ini kita kena jaga diri, jaga imej dan jaga maruah industri kreatif kita. Itu yang paling penting,” jelasnya.
Terdahulu, Zed menerusi temubual media meluahkan rasa kesal apabila mendakwa terdapat pelakon baharu yang tidak menghormati pelakon lain termasuk bersikap kurang baik semasa di set penggambaran.
Dalam perkembangan lain, Zed bakal kembali ke layar perak menerusi filem aksi arahan Andre Chiew berjudul Zero yang dijangka memulakan penggambaran awal Disember ini.
Filem mengangkat isu sindiket penjualan organ itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff dan ramai lagi.