Sekilas
- Evertts Gomes menganggap teori peminat di Threads mengenai KUDRAT 1968: High Council sangat menarik dan membantu mempromosikan siri tersebut.
- Evertts tidak mengesahkan atau menafikan sebarang teori dan meminta peminat bersabar menunggu jawapan melalui jalan cerita.
- Tiket untuk Malam Manifesto dan Karpet Merah KUDRAT 1968 habis dijual dalam masa kurang sejam, menunjukkan sokongan kuat peminat terhadap filem ini.
Pelakon, Evertts Gomes menyifatkan pelbagai teori yang dikongsikan peminat menerusi platform Threads mengenai KUDRAT 1968: High Council sebagai sesuatu yang menarik.
Menurut Evertts, teori yang dicetuskan peminat bukan sahaja menghidupkan perbualan mengenai jalan cerita, malah berpotensi menarik perhatian individu lain yang sebelum ini tidak mengikuti siri berkenaan.
“Benda-benda teori yang saya nampak dekat Threads itu sangat-sangat menarik. Saya rasa benda itu sendiri akan menjadi pemasaran kepada cerita kita sebenarnya.
“Sebab ramai peminat yang buat macam itu, kawan-kawan mereka sendiri akan persoalkan. Mungkin kawan-kawan mereka bukan peminat High Council Project ke apa, dan dengan teori itu, mereka akan rasa tertarik,” katanya.
Dalam pada itu, Evertts memilih untuk tidak mengiyakan atau menafikan sebarang teori yang sedang hangat dibincangkan dalam kalangan peminat.
Jelasnya, sebagai individu yang turut terlibat dalam siri tersebut, dia tidak boleh memberikan pengesahan terhadap spekulasi yang beredar, sekali gus meminta peminat supaya bersabar sehingga persoalan mereka terjawab menerusi jalan cerita.
“Sebagai seseorang yang ada dalam cerita itu sendiri, saya tak boleh setuju dan saya tak boleh tak setuju juga dengan apa-apa yang ada dekat luar sana.
“Saya cuma boleh cakap sekarang dan harap semua peminat High Council, peminat KUDRAT 1968, saya harap korang semua bersabar dan tunggu saja soalan-soalan korang terjawab,” katanya.
Sekadar info, kehangatan filem KUDRAT 1968: High Council kian terasa apabila tiket bagi Malam Manifesto Kudrat terjual dalam tempoh kurang satu jam.
Terbaharu, peminat filem ini terus menunjukkan kehebatan mereka dalam memberi sokongan buat filem Zulaikha Zakaria ini apabila tiket akses bagi Karpet Merah Malam Manifestro Kudrat juga ‘licin’ dan terjual dalam tempoh 40 minit!
Untuk 'Red Carpet Experience' ini, peminat berpeluang untuk melihat kemunculan barisan pelakon KUDRAT 1968: High Council di karpet merah dengan harga serendah RM50 untuk dua orang.
Walau bagaimanapun, tiket yang terbuka terhad kepada 100 pembelian ini tidak termasuk dengan akses ke tayangan filem.
Dengan tiket yang telah habis terjual, pastinya peminat semakin tidak sabar untuk menyaksikan kemeriahan Malam Manifesto Kudrat 1968 serta melihat barisan pelakon filem berkenaan secara lebih dekat.
KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskah terbitan Astro Shaw, arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi oleh Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk saksikan filem KUDRAT 1968: High Council bermula 29 Oktober ini di pawagam berdekatan anda.