Sekilas
- Filem aksi TERBANG mengangkat dunia perlumbaan rali Malaysia dan kisah semangat anak tempatan mengejar impian di pentas dunia.
- Filem ini diarahkan oleh Chiu Keng Guan dan menampilkan pelakon seperti Irfan Zaini, Zizan Razak, dan Shweta Sekhon, dengan penggambaran di Malaysia dan New Zealand.
- TERBANG akan ditayangkan mulai 17 September dalam format biasa dan 4DX, menawarkan pengalaman aksi rali yang realistik dan mendebarkan.
Filem aksi TERBANG bukan sekadar mengangkat dunia perlumbaan rali yang jarang diterokai dalam industri perfileman tempatan, malah membawa kisah mengenai semangat kebersamaan dan keberanian anak Malaysia mengejar impian di pentas dunia.
Bakal menemui penonton bermula 17 September ini, filem arahan Chiu Keng Guan itu diinspirasikan daripada perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai legenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh.
Menurut Penerbit Eksekutif TERBANG merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, naskhah tersebut dibangunkan sebagai sebuah filem Malaysia yang boleh dinikmati penonton daripada pelbagai generasi.
“Kami melihat TERBANG sebagai sebuah filem Malaysia untuk semua. Ia adalah sebuah kisah yang lahir daripada semangat, keberanian dan cita-cita anak tempatan yang tidak pernah kenal batas.
“Berlatarkan dunia sukan rali yang jarang diterokai di layar perak, TERBANG membawa satu perspektif baharu yang bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga dekat dengan jiwa penonton,” katanya.
Tambahnya, keseimbangan antara aksi, emosi dan penceritaan menjadi antara elemen penting bagi memastikan filem tersebut tidak terlalu sarat dengan mesej.
“Kami berharap apabila penonton keluar dari pawagam, mereka bukan sahaja rasa tersentuh dan terinspirasi dengan kisah yang dipaparkan, tetapi turut berasa bangga melihat kemampuan filem tempatan berkembang dari segi kualiti, skala produksi dan mutu penceritaannya,” ujarnya.
Bagi memberikan pengalaman perlumbaan lebih realistik, penggambaran TERBANG dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan New Zealand.
Produksi turut memberikan perhatian terhadap aspek teknikal seperti koreografi aksi rali, rekaan bunyi, prop berlatarbelakangkan tahun 2022 serta visual bagi membolehkan penonton merasai sendiri intensiti perlumbaan.
Diterajui Irfan Zaini, filem tersebut turut menampilkan Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Razib Salimin, Ruminah Sidek, Peggie Ng, Ng Meng Tuck dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.
TERBANG mengisahkan Ajeet yang meninggalkan dunia rali demi mencari ketenangan bersama isterinya, Lisa sebelum takdir membawanya kembali ke trek lima tahun kemudian.
Dia kemudiannya bergandingan dengan pemandu muda panas baran, Kitt dalam usaha kembali bersaing di pentas dunia sambil berdepan konflik dalaman dan rasa bersalah daripada masa lalu.
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space serta produksi WooHoo Pictures itu turut menampilkan lagu tema berjudul Menyala nyanyian Amir Masdi.
Selain tayangan biasa, TERBANG turut dipersembahkan dalam format 4DX yang menawarkan pengalaman menerusi kerusi bergerak serta kesan persekitaran termasuk angin, air dan bau.