Skip to main content

Hiburan

Terima Komen Tak Mampu Anjur Pertandingan Taraf Antarabangsa, Fury Redemption Tampil Dengan Skala Lebih Besar - “Ia Jadi Pembakar Semangat”

Fury Redemption

Sekilas

  • Jaa Suzuran, CMO Fury Redemption, bersyukur kerana persiapan pertandingan berjalan lancar walaupun bermula dengan rancangan kecil-kecilan.
  • Motivasi daripada komen negatif mendorong mereka untuk mengadakan pertandingan berskala besar dengan pelaburan ratusan ribu ringgit.
  • Hanya satu perlawanan selebriti diadakan untuk memberi peluang kepada peserta lain yang kurang dikenali, dengan penghormatan khusus kepada Adam Lee dan Alif Muhaimin yang berani menyahut cabaran.

Pelakon yang juga merangkap Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) bagi Fury Redemption iaitu Jaa Suzuran meluahkan rasa syukur kerana segala persiapan bagi pertandingan tersebut berjalan dengan lancar.

Menurut Jaa atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ahmad, pada awalnya, mereka sekadar mahu melakukan pertandingan itu secara kecil-kecilan namun, terdapat beberapa komen negatif yang telah menyuntik semangat untuk mereka tampil dengan skala yang lebih besar.

“Untuk Fury Redemption ini, pasukan kami dah berikan segalanya dan buat persiapan sejak tiga bulan yang lalu.

“Pada awalnya kami nak buat kecil-kecilan sahaja tapi ada pula komen negatif yang mengatakan bahawa orang Malaysia tak boleh anjur pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Perkara itu sedikit sebanyak telah menjadi pembakar semangat untuk kami sediakan venue yang berskala lebih besar. Boleh dikatakan ratusan ribu ringgit juga modal yang telah digunakan untuk pertandingan ini,” katanya kepada Gempak.

Jaa yang mesra disapa Abe Ja berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media Fury Redemption bertempat di Arena Sukan Kuala Lumpur, Setapak pada Sabtu.

Mengulas mengenai perlawanan melibatkan selebriti, Jaa menjelaskan hanya satu perlawanan ditampilkan dalam edisi kali ini bagi memberi ruang kepada peserta lain yang sebelum ini kurang diberi peluang.

“Perlawanan melibatkan selebriti bagi edisi kali ini hanya ada satu saja sebab nak berikan peluang kepada mereka yang boleh berlawan tapi tak diberikan peluang.

“Tak kisahlah mereka popular atau tidak, kami akan beri peluang tetapi mereka kena buktikanlah kepada kami kebolehan dan kemampuan mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Jaa turut menzahirkan rasa hormat terhadap dua pelakon iaitu Adam Lee dan Alif Muhaimin kerana berani menyahut cabaran untuk berlawan dalam Fury Redemption.

“Tapi apa-apa pun saya tabik kepada Adam Lee dan Alif Muhaimin sebab mereka berani menyahut cabaran,” katanya.

Arena Sukan Kuala Lumpur bakal menjadi pentas kebangkitan bakat baharu sukan tempur menerusi penganjuran Fury Redemption yang menghimpunkan 22 petarung dengan 11 pertarungan sengit pada malam ini.

Must-Watch Video

Advertisement