Skip to main content

Hiburan

Terlalu Cinta Dengan Kerjaya Seni, Aina Abdul Mahu Terus Kekal Dalam Industri Sampai Tua - “Saya Dambakan Ketenangan…”

Aina Abdul

Ringkasan AI

  • Aina Abdul menganggap kerjaya seni sebagai sumber kebahagiaan dalam hidupnya.
  • Dia berharap dapat terus berkarya tanpa paksaan sehingga usia tua.
  • Walaupun sudah mencapai banyak kejayaan, Aina masih mencari ketenangan dan kepuasan dalam kerjaya.
  • Restu ibu dan memastikan pasukannya terbela adalah antara perkara yang membuatkan dia rasa bahagia.
  • Aina berkongsi pandangannya ini dalam podcast Confession Bilik Gelap yang dihoskan oleh Sudirman Mohd Tahir.

Menganggap kerjaya adalah kebahagiaan dalam hidup, penyanyi dan komposer Aina Abdul berharap karier seninya akan terus kekal lama.

 

Aina, 32, turut mengakui minat dan cintanya terhadap seni tidak pernah pudar selain mendambakan ketenangan dalam kerjayanya.

 

“Sebenarnya apa yang saya mahukan adalah ingin merasai kebahagiaan dalam pekerjaan saya. Saya mahu terus melakukan perkara ini (berkarya) selama yang saya mampu. Sampai sudah tua pun, saya masih ingin melakukannya.

 

“Saya mahu melakukannya sehingga tua tanpa ada paksaan. Saya inginkan kebahagiaan itu, saya dambakan ketenangan dalam bekerja.

 

“Itulah yang paling saya mahukan. Saya berharap dan berdoa agar kerjaya ini masih panjang tempohnya. Sebab semua orang ada tarikh luput masing-masing,” katanya. 

 

Aina berkongsi perkara itu menerusi saluran podcast Confession Bilik Gelap yang dihoskan oleh Sudirman Mohd Tahir.

 

Penyanyi berusia 32 tahun ini berkata biarpun banyak pencapaian dan kejayaan telah digenggam, namun masih ada ruang kosong dalam dirinya yang belum terisi.

 

“Dulu kalau orang tanya apa yang saya mahukan, saya akan jawab, ‘Saya nak menang ini, nak capai itu.’ Tetapi selepas beberapa tahun, bila kejayaan itu sudah ada, masih rasa sedih, masih rasa tidak cukup dan tidak puas.

 

“Jadi, jawapan utama yang saya boleh katakan ialah saya hanya mahu bahagia dalam kerjaya ini dan bagaimana saya hendak mencari kebahagiaan itu, hanya Allah yang boleh memberikan saya perkara itu.

 

“Sekarang ini, saya masih belum dapat, belum menemui lagi dan belum berdamai dengan perkara itu,” ujarnya. 

 

Jelas pelantun lagu Sesaat itu lagi, mendapat restu ibu dan kerjaya memberi manfaat kepada pasukannya sudah mencukupi buat dirinya berasa bahagia. 

 

“Apa yang terbaik adalah, selagi pekerjaan ini mendapat restu daripada ibu saya, saya gembira dan pekerja-pekerja saya terbela, saya rasa cukuplah,” katanya. 

@fikahanwar20 Full podcast di YT Syok #AinaAbdul ♬ original sound - ainaabdulofficial

Must-Watch Video

Advertisement