Sekilas
- Usahawan dan pempengaruh Diva M menghadiahkan sebuah Honda Civic hatchback bernilai RM100,000 kepada pekerjanya, Wany, sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan lebih lima tahun.
- Kejutan itu berlaku semasa sambutan ulang tahun kelapan anak Diva M di sebuah hotel lima bintang di KLCC, dengan kehadiran hampir 20 kakitangan dan kenalan rapat.
- Diva M menjelaskan pemberian itu sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen pasukannya, serta berharap hadiah tersebut memudahkan urusan harian Wany dan keluarganya.
Siapa yang tidak terharu apabila majikan sendiri menghadiahkan sebuah kereta idaman sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan selama bertahun-tahun?
Itulah kejutan yang diterima seorang pekerja dikenali sebagai Wany apabila usahawan dan pempengaruh, Diva M menghadiahkannya sebuah Honda Civic hatchback bernilai kira-kira RM100,000.
Lebih istimewa, kereta tersebut dibayar sepenuhnya secara tunai, malah dokumen pemilikan turut diserahkan kepada Wany tanpa perlu menanggung sebarang ansuran pembelian.

Kejutan berkenaan berlangsung sempena sambutan ulang tahun kelapan anak perempuan Diva M yang diadakan di sebuah hotel lima bintang sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Majlis tersebut turut dihadiri hampir 20 kakitangan serta kenalan rapat termasuk pengarah Michael Ang dan usahawan Kak KM bersama keluarga.
Menurut Diva M, pemberian itu merupakan tanda terima kasih kepada Wany yang sudah lebih lima tahun berkhidmat dan sentiasa membantu menguruskan perniagaannya ketika susah mahupun senang.
“Saya sangat menghargai orang yang setia bersama saya. Mereka ada ketika susah dan senang, sama-sama bekerja dan membantu memastikan perniagaan ini terus berjalan. Banyak tanggungjawab yang mereka pikul setiap hari.
“Apabila ada rezeki lebih, saya mahu mereka turut merasai kegembiraan itu. Saya tahu usaha membina perniagaan ini turut dibantu oleh pasukan yang sentiasa memberikan kerjasama,” katanya.
Menariknya, Diva M sengaja merahsiakan kejutan tersebut dengan mengajak semua tetamu turun ke lobi hotel atas alasan mahu bergambar beramai-ramai.
Tanpa pengetahuan Wany, sebuah Honda Civic yang dihiasi belon merah serta belon tertera namanya sudah tersedia di hadapan hotel.

Sebaik melihat namanya pada hiasan tersebut, Wany terus menitiskan air mata sebelum mengetahui bahawa kereta berkenaan sebenarnya dihadiahkan kepadanya.
“Saya memang tidak tahu apa-apa. Ingatkan turun untuk bergambar sahaja. Bila nampak kereta dengan belon nama saya, terus saya menangis walaupun belum ada sesiapa cakap apa-apa. Saya sangat terharu dan rasa dihargai,” katanya.
Diva M menjelaskan bahawa dia memilih kereta tersebut kerana mengetahui Honda Civic hatchback merupakan kenderaan yang selama ini diimpikan pekerjanya.
“Saya tahu itu kereta yang dia idamkan. Apabila ada kemampuan untuk tunaikan, saya rasa gembira dapat berbuat demikian. Saya harap pemberian ini dapat memudahkan urusannya dan memberi manfaat untuk dirinya serta keluarga.
“Saya faham hendak bekerja dan mencari rezeki bukan mudah. Kalau berdepan masalah pengangkutan, hendak pergi balik kerja dan menguruskan keperluan harian pun boleh menjadi susah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Diva M mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama dia menghadiahkan kereta kepada pekerja.
Malah, beberapa kakitangannya sebelum ini turut menerima hadiah seumpama itu, manakala pekerja lain diberikan pilihan untuk menyatakan bentuk penghargaan yang lebih bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Bagi Diva M, kejayaan perniagaan yang dibinanya sejak 2016 tidak mungkin dicapai tanpa sokongan pasukan yang sentiasa memberikan komitmen.
“Selagi ada kemampuan, saya mahu terus berkongsi. Saya gembira dapat meraikan anak dan keluarga, dan pada masa yang sama menggembirakan pekerja yang banyak membantu saya. Rezeki yang ada ini lebih bermakna apabila dapat dikongsi bersama,” katanya.

Selain menghargai pekerja, Diva M turut aktif dalam kegiatan kebajikan termasuk menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada penghuni pusat jagaan warga emas dan rumah kebajikan.