Sekilas
- Pelakon Trisha Ooi berjaya meraih kemenangan di kejohanan tinju All Star Championship Series di Dubai selepas menewaskan pempengaruh Indonesia, Dinda Anwar.
- Trisha berkongsi rasa syukur dan menganggap kemenangan itu hasil pengorbanan, disiplin, dan latihan berbulan-bulan walaupun pernah berasa penat dan ragu-ragu.
- Dia turut mengucapkan terima kasih kepada ibunya dan semua yang memberi sokongan serta doa sepanjang perjalanan mencapai kejayaan tersebut.
Pelakon, Trisha Ooi meluahkan rasa syukur selepas berjaya meraih kemenangan di kejohanan tinju All Star Championship Series.
Menerusi perkongsian di Instagram, Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi seakan tidak percaya akan kemenangan itu namun menganggap ianya hasil pengorbanan serta penat lelahnya yang berlatih selama berbulan-bulan.
“Alhamdulillah berjaya bawa pulang tali pinggang (kemenangan) ini pulang ke Malaysia.
“Ia bukan sekadar satu perlawanan tetapi ia merupakan kemenangan yang hadir dari pengorbanan selama berbulan-bulan, disiplin, air mata serta terus mencabar diri untuk menjangkau ‘limit’ yang saya sendiri tak sangka.
“Ada masanya saya penat, ragu-ragu dan seakan mahu berhenti, tetapi saya tak mengalah,” kongsinya.
Menerusi perkongsian yang sama, Trisha turut memuat naik gambar kemenangannya sewaktu menyertai pertandingan itu di Dubai.
Sementara itu, pelakon drama Sujud Terakhir Encik Norman ini turut menzahirkan penghargaan buat ibunya serta semua pihak yang sentiasa memberi sokongan, doa dan kepercayaan buatnya.
“Kepada ibu saya serta semua yang menyokong, mempercayai serta mendoakan saya. Terima kasih yang tak terhingga.
“Kalian memberikan saya kekuatan yang saya perlukan. Terima kasih juga kepada diri saya yang tak pernah berputus asa,” kongsinya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan ucapan tahniah buat Trisha atas kemenangan itu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Dubai itu, Trisha berjaya membawa pulang tali pinggang kemenangan selepas menewaskan lawannya yang merupakan pempengaruh dari Indonesia, Dinda Anwar.
Sumber: Instagram