Sekilas
- Jackson Wang kembali dengan single terbaru berjudul "Thank You" yang dilancarkan pada 21 September, menandakan permulaan kerjasama bersama agensi Roc Nation.
- Lagu ini meraikan perjalanan karier muzik Jackson dan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokongnya.
- Muzik video "Thank You" yang dirakam menggunakan iPhone 18 Pro menampilkan konsep hitam putih dan melibatkan peminat dari seluruh dunia, sambil Jackson meneruskan jelajah MAGICMAN 2 World Tour di Amerika dan China.
Penyanyi Antarabangsa terkenal, Jackson Wang pastinya mengubat rindu peminat apabila kembali dengan single terbaharu berjudul Thank You yang dilancarkan pada 21 September lalu.
Lagu tersebut menjadi keluaran pertama Jackson selepas karya peribadinya pada 2025, selain menandakan permulaan kerjasamanya bersama agensi pengurusan baharu iaitu Roc Nation.
Menurut pengasas Roc Nation yang juga rapper Antarabangsa terkenal iaitu Jay-Z, Jackson disifatkan sebagai seorang penyanyi yang luar biasa dan cukup berbakat.
““Kami sangat senang menyambut Jackson Wang ke dalam keluarga Roc Nation.
“Dia adalah artis luar biasa dengan semangat yang sangat istimewa, dan kami tidak sabar melihat apa yang akan dia lakukan selanjutnya,” kongsinya.
Menerusi lagu Thank You, Jackson meraikan perjalanan karier muziknya yang sudah dilalui sehingga ke hari ini.
Malah, lagu tersebut turut menjadi tanda penghargaan Jackson buat para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sepanjang perjalanan karier.
Konsep itu turut diterapkan menerusi muzik video Thank You di mana Jackson turut mengajak peminatnya dari seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada muzik video tersebut.
Lebih menarik, muzik video yang diarahkan Ojun Kwon itu dirakam menggunakan iPhone 18 Pro dengan menggunakan pendekatan visual hitam putih bagi menggambarkan pelbagai fasa kehidupan dan perjalanan karier Jackson, selain menjadi penghargaan buat individu yang sentiasa berada di belakang tabir menyokongnya.
Dalam masa yang sama, lagu Thank You itu dikeluarkan bersempena perjalanan karier Jackson yang cukup sibuk menerusi konsert MAGICMAN 2 World Tour di Amerika Utara dan Amerika Latin pada musim bunga lalu.
Selepas ini, Jackson dijadualkan meneruskan siri jelajah tersebut di China bermula Oktober depan.