Sekilas
- Stesen radio THR GEGAR mencipta dua rekod Malaysia Book of Records dalam sebulan menerusi siaran langsung dari paramotor dan persembahan DJ Dikir Barat di altitud tinggi.
- Pengiktirafan ini menunjukkan keberanian dan komitmen pasukan THR GEGAR dalam menghasilkan kandungan unik dan melangkaui batasan penyiaran radio konvensional.
- THR GEGAR berjanji akan terus meneroka idea baharu dan aktiviti kreatif untuk kekal relevan dan menjadi pilihan utama pendengar di Pantai Timur.
Stesen radio THR GEGAR mencipta sejarah apabila meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam tempoh hanya sebulan menerusi dua cabaran penyiaran luar biasa.
Pengiktirafan pertama diperoleh menerusi rekod Siaran Radio Langsung Pertama Dari Paramotor yang dijayakan penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea pada 4 September lalu.
Bersempena Jelajah KITA FM di Kelantan, kedua-duanya bersiaran secara langsung ketika berlegar di udara menggunakan paramotor di Pantai Irama, Bachok.
Tidak terhenti di situ, THR GEGAR sekali lagi mencatat rekod menerusi penyampai Bro Pagi Gegar, Issey dan Fizie yang menjayakan Persembahan DJ Radio Dikir Barat Secara Langsung Bertali Di Altitud Tertinggi pada 24 September lalu.
Cabaran di Kuantan 188 itu menyaksikan Issey dan Fizie mempersembahkan Dikir Barat secara langsung dalam keadaan menggunakan tali keselamatan pada altitud tinggi.
Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, dua pengiktirafan tersebut menjadi bukti keberanian dan komitmen pasukannya dalam menawarkan kandungan berbeza kepada pendengar.
“Kami amat bersyukur dan berbangga atas pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records.
“Dua rekod dalam tempoh sebulan bukan sahaja menjadi bukti keberanian dan komitmen pasukan THR GEGAR, malah mencerminkan semangat kami untuk sentiasa mencipta kandungan yang unik, dekat di hati pendengar dan melangkaui batasan penyiaran radio konvensional,” katanya.
Menurut Azah, pencapaian tersebut turut didorong dedikasi barisan penyampai, seluruh warga kerja serta sokongan pendengar setia stesen berkenaan.
“Kami akan terus meneroka idea baharu, mencabar kebiasaan dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti kreatif serta inovatif bagi memastikan THR GEGAR kekal relevan, menghiburkan dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” ujarnya.
THR GEGAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio dan menampilkan pilihan lagu khususnya buat pendengar Pantai Timur.
Stesen tersebut juga mempunyai lebih 1.2 juta pengikut dalam platform media sosial.