Sekilas
- Pelawak dan penyampai radio Johan tidak mempunyai akaun media sosial dan hanya mengikuti berita melalui carian Google.
- Johan memilih untuk elak media sosial supaya dapat beri tumpuan lebih kepada keluarga dan luangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
- Dalam kerjaya radio, Johan mendapat maklumat viral daripada rakan sekerja sebelum mengulas, jadi dia tidak rasa terlepas info penting walaupun tiada media sosial.
Pelawak dan penyampai radio, Johan mendedahkan dia tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan hanya mengetahui perkembangan berita semasa atau isu tular menerusi carian di Google.
Menurut Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim, 41, dia memilih untuk tidak mempunyai platform seperti Instagram, Threads atau mana-mana laman sosial lain kerana mahu memberi lebih perhatian kepada keluarga.
“Saya tiada media sosial. Saya tiada Threads, Instagram, apa pun media sosial, saya tiada. Semuanya saya Google. Berita saya baca semuanya di Google.
“Kalau berita yang awak tulis ada keluar di Google, saya baca, kalau tidak, saya tak tahu,” katanya kepada Gempak.
Suami kepada pelakon, Ozlynn Waty berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan dia lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.
“Hidup saya lebih konsisten, cukuplah untuk isteri saya ada. Satunya sebab keluarga. Saya beri contoh bawa anak saya pergi Jungle Gym, anak pergi bermain dan saya duduk tengok telefon. Tak jadi apa. Saya buat itu 10 tahun lalu.
“Jadi saya buang semua media sosial dan pergi bermain dengan anak. Saya beri gerenti pada awak, dalam masa lima minit, Ozlynn pun akan sertai kami main bersama anak-anak di situ.
“Jadi saya buat semua ini untuk keluarga saya. Biarlah Ozlynn saja yang ada media sosial,” katanya.
Malah, sebagai penyampai radio, Johan berkata, dia tidak mempunyai masalah kerana sahabatnya di konti akan memberikan penerangan padanya terlebih dulu.
“Kalau kerja, mereka akan ‘brief’ saya dulu, misalnya mereka akan cakap semalam kes ini viral. Jadi saya akan tengok dan baca. Jadi saya ulas dari apa yang saya tahu.
“Kami di konti ada tugas masing-masing, AG buka cerita, Fara akan bawa cerita itu dan saya tembak saja. Bukanlah cakap saya tak mahu ambil tahu, tapi kebanyakannya saya hanya ikut saja,” katanya.