Penyanyi, Putri Dahlia mencuri tumpuan apabila hadir ke malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) tanpa berhijap buat pertama kali.
Jelas Dahlia, tindakannya membuka hijab bukan mahu mencetuskan kontroversi atau memberontak namun ianya adalah keputusan peribadi.
“Saya mula pakai tudung sejak usia enam tahun. Tapi sekarang, saya mahu mulakan perjalanan baharu dan mencari jalan dengan cara sendiri. Keputusan ini tiada kaitan dengan isu keluarga. Saya sentiasa menyokong ibu dan adik-beradik dalam apa juga yang mereka lalu,” katanya kepada Gempak.
Anak kepada penyanyi tersohor Datuk Nora Ariffin itu juga menegaskan keputusan tidak lagi mengenakan hijab itu turut mendapat restu keluarga asalkan dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Advertisement
“Ibu dan keluarga sokong saya. Mereka kata saya nampak cantik. Yang penting, sebagai orang Islam kita kena jadi insan baik.
“Saya pernah beritahu keluarga perkara ini (buka tudung) akan berlaku, dan mereka cakap tak mengapa, asalkan saya gembira, menunaikan solat serta menjaga diri.
“Kalau terlalu ikut kata orang, sampai bila-bila pun boleh jadi gila. Saya pentingkan kesihatan mental dan keluarga jadi contoh terbaik untuk saya,” ujarnya.
Untuk rekod, Putri Dahlia ialah anak kepada Nora dan komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017.
Hasil perkongsian hidup bersama Johan sejak 1992, Nora dikurniakan empat cahaya mata termasuk Putri Dahlia.