Sekilas
- Isu anjing liar yang mengancam keselamatan kanak-kanak mendapat perhatian ramai termasuk pendakwah bebas Ustaz Wadi Anuar.
- Ustaz Wadi menyeru pemilik haiwan supaya bertanggungjawab menjaga haiwan peliharaan agar tidak membahayakan orang lain.
- Beliau mengingatkan bahawa Islam mengajar ihsan kepada haiwan tanpa mengabaikan keselamatan manusia.
Isu melibatkan anjing liar terus menjadi perhatian dan perbualan hangat dalam kalangan wargamaya sejak kebelakangan ini.
Susulan itu, pendakwah bebas Ustaz Wadi Anuar turut tampil menyuarakan pandangannya dengan berharap tiada lagi insiden yang mengakibatkan kanak-kanak mengalami kecederaan atau hidup dalam ketakutan akibat ancaman anjing yang tidak dikawal.
Menerusi satu perkongsian di Threads, beliau menegaskan bahawa tiada siapa sanggup melihat seorang anak kecil pulang dalam keadaan cedera akibat diserang haiwan.
“Tiada siapa mahu melihat anak kecil pulang dengan kecederaan akibat diserang anjing. Semoga tiada lagi kanak-kanak yang hidup dalam ketakutan akibat ancaman anjing yang tidak dikawal,” kongsinya.
Dalam masa sama, Ustaz Wadi turut menyeru semua pemilik haiwan agar memikul amanah menjaga haiwan peliharaan dengan penuh rasa tanggungjawab demi keselamatan masyarakat.
Beliau mengingatkan supaya haiwan peliharaan tidak dibiarkan menjadi punca ketakutan atau mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
“Kepada semua pemilik haiwan, jagalah amanah ini dengan penuh tanggungjawab demi keselamatan masyarakat. Jangan biarkan haiwan peliharaan menjadi punca ketakutan atau kemudaratan kepada orang lain.
“Islam mengajar kita berlaku ihsan kepada haiwan tanpa mengabaikan hak dan keselamatan manusia. Itulah rahmat Islam,” ujarnya.
Sumber - Threads