Sekilas
- Fyna Jebat mengesahkan dia masih isteri sah kepada Datuk Zainal Abidin Hassan dan menafikan dakwaan mereka sudah bercerai.
- Fyna mendedahkan perkahwinan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan umum termasuk isteri pertama Zainal, demi kebaikan anak mereka, Puteri.
- Dia meluahkan rasa kecewa selepas empat tahun 'disimpan' dan tidak sanggup lagi menyembunyikan status sebenar demi masa depan anaknya.
Penyanyi, Fyna Jebat tampil menjawab mengenai spekulasi status rumah tangganya apabila mengesahkan dia masih isteri sah kepada bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Fyna atau Nur Shafinaz Jebat, 31, berkata hantaran luahan hati berbaur kemarahan yang dimuat naik pada Rabu ditujukan kepada suaminya kerana tidak lagi sanggup menyembunyikan perkara sebenar.
Menurut Fyna, dakwaan mengatakan mereka sudah bercerai adalah tidak benar, sebaliknya perkahwinan tersebut sebelum ini dirahsiakan daripada pengetahuan umum termasuk isteri pertama Zainal.
"Ya, luahan disimpan itu saya tujukan kepada suami saya Zainal Abidin. Kami sebenarnya belum cerai lagi dan sehingga sekarang saya masih isteri yang sah.
"Isteri pertama tidak tahu saya ini masih lagi isteri dia. Saya buat kenyataan tersebut adalah untuk kebaikan anak saya," katanya.
Menurutnya, dia sudah hilang sabar dan tidak mampu menahan perasaan selepas statusnya sebagai isteri terus disorok daripada pengetahuan umum.
Katanya, dia enggan membiarkan dirinya terus tertekan demi masa depan anak perempuannya, Puteri yang kini hampir mencecah usia dua tahun.
"Saya buat itu (hantaran) sebab memang tidak tahan dah. Lagi saya diam, lagi mental nanti. Jadi lebih baik saya lakukan itu.
"Takkan saya mahu berdiam diri sampai anak dah dewasa? Saya tidak mampu bertahan lagi sebab lambat laun orang akan tahu juga," ujarnya.
Pada Rabu, Fyna tampil meluahkan rasa kecewa terhadap seorang individu yang didakwa telah melampaui batas.
Fyna mendedahkan dirinya telah 'disimpan' selama empat tahun oleh individu yang enggan didedahkan identitinya.
Menerusi hantaran di InstaStory, Fyna memberi bayangan bahawa individu terbabit pernah melakukan sesuatu yang meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya serta anak yang kini hampir mencecah usia dua tahun.
Untuk rekod, Fyna mendirikan rumah tangga dengan Zainal Abidin pada tahun 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang dikenali sebagai Puteri.
Sumber: Mstar