Sekilas
- Datuk Seri Siti Nurhaliza mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh ketika latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
- Kesan lebam dan luka kecil di wajahnya masih kelihatan, namun beliau tidak lagi merasa sakit kecuali bengkak di bahagian tulang pipi.
- Siti berkongsi perkembangan terkini ini di Instagram Stories dan bersyukur atas kesembuhan yang dialaminya.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi perkembangan terkini keadaan dirinya selepas mengalami kecederaan ringan ketika menjalani latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Siti memaklumkan kesan lebam pada wajahnya masih belum hilang sepenuhnya namun bersyukur kerana tidak lagi mengalami kesakitan, kecuali rasa bengkak di bahagian tulang pipi.
“Tinggal nak hilangkan lebam sahaja. Sakit tak ada, kecuali bahagian tulang pipi masih rasa bengkak.
“Alhamdulillah, semuanya adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada saya,” kongsinya.
Terdahulu, misteri lebam di bawah mata serta kesan luka kecil pada wajah penyanyi lagu Kesuma itu terjawab menerusi sebuah video montaj (VT) yang ditayangkan ketika Konsert Tradisional Gema Bumantara pada Sabtu.
Menerusi video berkenaan, Siti dilihat terjatuh ketika menjalani latihan bagi konsert yang berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Insiden berlaku ketika Siti sedang berlatih melakukan aksi melompat menggunakan tali sebelum kakinya tersadung, menyebabkan dia terjatuh tersembam ke lantai.
Kejadian itu mengakibatkan kecederaan ringan, termasuk luka kecil di bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.