Sekilas
- Datuk Seri Vida berkongsi detik lucu ketika menerima lamaran romantis daripada Datuk Fazley Yaakob dengan penampilan baju yang kedut-kedut.
- Lamaran tersebut berlaku secara spontan di 11.11 Mega Stock Live Concert dan diserikan dengan cincin khas bernilai RM7,000 yang direka menyerupai tiara kegemaran Vida.
- Momen lamaran itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang menganggap ia tulen dan mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut walaupun masih ada tanda tanya mengenai keseriusan hubungan mereka.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida mencuri perhatian apabila berseloroh mengenai penampilannya ketika menerima lamaran romantis daripada cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob.
Menerusi hantaran di Threads, DSV atau Hasmiza Othman menyifatkan detik tersebut sebagai titik terendah buat dirinya kerana tidak menyangka bakal menerima lamaran sehingga tidak sempat memastikan pakaiannya berada dalam keadaan kemas.
"Titik terendah saya time kena propose baju kedut-kedut.
"Mana tahu nak kena propose kalau tahu saya iron baju ni!" tulisnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur dengan hantaran berkenaan.
"Dato, kalau baju dah iron hari tu, mungkin sekarang dah masuk episod anniversary."
"Bella pun dato masa kena propose pakai topi lagi, dia siap cakap boleh tak ulang balik."
"Tak apa titik terendah, lamaran tertinggi. Hmmmm."
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang berpendapat momen lamaran tersebut kelihatan lebih spontan dan tulen berbanding sekadar kandungan media sosial.
"Barulah nampak genuine. Original, bukan content DSV. Apa pun jika memang jodohnya, moga berpanjangan sampai syurga."
Tidak kurang juga ada yang masih tertanya-tanya mengenai keseriusan hubungan pasangan berkenaan, namun tetap mendoakan agar kedua-duanya menemui kebahagiaan.
Terdahulu, Fazley mencuri tumpuan apabila melamar Vida ketika membuat kemunculan di 11.11 Mega Stock Live Concert.
Momen istimewa itu sekali gus menjawab pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka yang sebelum ini menjadi perhatian ramai.
Bagi melengkapkan lamaran tersebut, Fazley memilih sebentuk cincin bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel yang direka khas menyerupai tiara, diinspirasikan daripada kegemaran Vida memakai mahkota atau crown.
Rekaan berkenaan merupakan satu-satunya yang dihasilkan khusus buat Vida sebagai simbolik kepada keistimewaan wanita itu di mata Fazley.
Difahamkan, kejutan romantis berkenaan menelan belanja sebanyak RM500,000.