Sekilas
- Kaka Azraff menasihatkan wanita supaya utamakan tanggungjawab lelaki sebelum memilih pasangan hidup.
- Beliau tekankan tanggungjawab kepada Tuhan dan pasangan adalah kriteria utama dalam perkahwinan, bukan hanya pesona semasa bercinta.
- Kaka berkongsi pandangan ini dalam ChatterboxTrio Podcast dan mendapat sokongan netizen selepas melalui pengalaman perkahwinan dan perceraian.
Penyanyi, Kaka Azraff menitipkan pesanan buat golongan wanita supaya lebih mengutamakan soal tanggungjawab apabila memilih pasangan hidup.
Menurut Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, seseorang itu perlu mencari lelaki yang mampu memikul tanggungjawab sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
“Tolonglah cari lelaki yang nampak dia boleh pegang tanggungjawab, itu dulu bila bercakap soal perkahwinan.
“Yang paling penting adalah tanggungjawab dia dengan Tuhan, tanggungjawab kepada awak sebagai orang yang dia nak ambil masuk dalam hidup dia,” kongsinya.
Kaka berkongsi perkara tersebut ketika menjadi tetamu sesi podcast ChatterboxTrio Podcast.
Tambah pelantun Bawaku Pergi ini, apa yang mereka lalui sepanjang menjalin hubungan percintaan bukanlah gambaran bahawa pasangan itu merupakan insan yang terbaik buat mereka.
“Bercinta lain tau sebab kalian hanya akan nampak betapa ‘charming’nya lelaki itu.
“Tetapi bila dalam perkahwinan, perkara-perkara itu hanyalah dalam satu ‘kotak kecil’ saja,” tambahnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa setuju dengan pendapat yang dikeluarkan Kaka.
Untuk rekod, Kaka sebelum ini pernah bercerai pada 28 Oktober 2024, namun kembali rujuk pada awal tahun 2025 iaitu ketika masih dalam tempoh idah.
Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 6, Aryan, 5, dan Atta Adam.
Kaka kemudiannya bercerai buat kali kedua pada 4 Jun yang lalu.
Sumber: Instagram