Penantian peminat T.O.P untuk melihat bintang pujaan mereka kembali aktif sebagai penyanyi solo segera tercapai.
Hal itu lantaran pemilik nama sebenar Choi Seung-hyun itu mengumumkan akan muncul dengan album solo baharu.
Bekas anggota kumpulan BigBang itu menulis: “Album baharu dalam pembikinan.”
T.O.P malah memberi gambaran album tersebut bakal menyusul segera apabila sedang menulis lagu berjudul Another Dimension, lapor Chosun.com.
Jika album solo tersebut dilancarkan, ia menjadi yang pertama selepas 13 tahun T.O.P melahirkan single hitnya, Doom Dada pada November 2013.
Pemain watak Thanos dalam Squid Game 2 itu menempa populariti bersama BigBang pada 2006 sebelum meninggalkan kumpulan tersebut pada 2023.
Dia pernah dipenjara selama 10 bulan dengan dua tahun pengawasan kerana salah laku dadah pada tahun 2016.
Menerusi temu bual dengan media pada Januari tahun lalu, T.O.P meminta maaf terhadap kontroversi yang dicetuskan namun tidak pernah berhenti melahirkan karya yang baik buat peminat.