Nama anggota kumpulan Dolla, Sabronzo kembali menjadi bualan hangat netizen apabila tular sepotong video memaparkan kelibatnya bersama DJ terkenal dari Belanda, Dash Berlin di sebuah lapangan terbang baru-baru ini.
Menerusi rakaman yang dikongsi oleh orang awam di platform TikTok, kelihatan pasangan itu berjalan bersama sambil menolak beg bagasi dipercayai selepas tiba dari luar negara.
Advertisement
“So betul lah kan dah kahwin? Serius cantik gila depan-depan #sabronzo #sabronzodolla,” tulis individu tersebut di ruangan kapsyen.
Video berdurasi pendek itu sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat yang percaya penyanyi berusia 30 tahun itu kini sudah bergelar isteri kepada Dash Berlin.
Sebelum ini, foto perkahwinan seorang wanita menyerupai Sabronzo turut tular di media sosial, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa majlis pernikahan mereka telah berlangsung secara tertutup.
Menerusi beberapa perkongsian lain, pasangan berkenaan dipercayai melangsungkan perkahwinan di sebuah resort mewah di Bali, Indonesia kira-kira dua minggu lalu.
Sumber terdekat turut memaklumkan, Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, berkemungkinan besar mengadakan majlis bahagia itu secara privasi tanpa liputan media.
Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua pihak masih belum tampil memberi sebarang kenyataan rasmi mengenai status hubungan mereka.