Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob mengenang kebaikan dan keibuan Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali yang dikenali sebagai seorang yang lemah lembut dan menghormati semua orang tanpa mengira latar belakang.
- Fazley berkongsi satu momen menyentuh di mana Tun Hasmah membantu seorang staf yang tertumpahkan air, menunjukkan sifat penyayang dan prihatin beliau.
- Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan dikenang sebagai tokoh wanita yang banyak menyumbang dalam bidang perubatan dan khidmat masyarakat.
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mengenang kembali sosok isteri kepada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali.
Menurut Fazley, sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif di Putra World Trade Centre (PWTC) Kuala Lumpur, dia berpeluang melihat sendiri keperibadian Tun Hasmah yang disifatkan sebagai seorang yang lemah lembut ketiba berbicara.
Malah katanya lagi, Tun Hasmah juga seorang yang sangat menghormati setiap individu tanpa mengira latar belakang mereka.
“10 tahun saya bertugas sebagai Pengarah Eksekutif di Putra World Trade Centre Kuala Lumpur. Selama itu juga saya mengenali sosok Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selaku isteri tercinta kepada Tun Mahathir.
“Dengan tutur kata yang sentiasa tersusun rapi, bak seorang ibu kepada sesiapa sahaja yang mengenali beliau tidak mengira darjat dan keturunan,” kongsinya.
Dalam hantaran yang sama, Fazley turut mengimbas kembali satu kejadian melibatkan seorang staf wanita di PWTC yang tidak sengaja tertumpahkan air milik Allahyarhamah selepas tersadung karpet.
Kata Fazley, tindakan spontan Allahyarhamah ketika itu membuatkan staf berkenaan yang pada awalnya berasa takut akhirnya menangis kerana terharu.
“Salah seorang staff wanita kami di PWTC pernah tersadung karpet lalu tertumpahkan air yang beliau minta.
“Allahyarham Tun bingkas bangun dan terus membantu staff dan bertanya ‘Are you ok? Are you hurt?’ Sedangkan baju Tun sudah terkena sisa air yang tertumpah itu.
“Daripada takut, staff kami terus menangis terharu dan tetap memohon maaf berkali- kali,” jelasnya.
Coret Fazley lagi, momen berkenaan menjadi antara kenangan yang cukup bermakna sepanjang mengenali Allahyarhamah Tun Hasmah dan menggambarkan betapa besarnya nilai keibuan yang dimiliki olehbeliau.
“Begitu mulianya hati Allahyarham dan begitu besar nilai keibuan beliau.
“Terima kasih kerana sentiasa menjadi kekuatan dan pemberi semangat buat kami semua. We will miss you,” coretnya.
Terdahulu, Tun Dr Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi Isnin.
Berita duka itu disahkan sendiri anak kepada Allahyarhamah iaitu Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Tun Dr Hasmah meninggalkan tujuh orang anak serta ahli keluarga yang lain.
Allahyarham merupakan antara tokoh wanita paling disegani di negara ini dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan serta khidmat kemasyarakatan.