Sekilas
- Karl Shafek kini semakin pulih daripada penyakit autoimun yang dihidapinya sejak 2019 dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan kurang fokus pada kerja berlebihan.
- Walaupun masih mengambil lima jenis ubat dan perlu memantau tahap keradangan dalam badan, keadaan Karl kini lebih terkawal berbanding sebelum ini.
- Karl akan muncul sebagai Chef Rahman dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Ogos di Panggung Seni, UKM.
Pelakon dan pengacara, Karl Shafek berkongsi mengenai keadaan kesihatannya yang kini semakin pulih selepas disahkan menghidap autoimun sejak 2019.
Meskipun semakin pulih namun, pemilik nama Khairul Shafek Ibrahim ini memaklumkan bahawa sakit itu tetap datang pada bila-bila masa, namun keadaannya kini lebih terkawal selepas dia mengubah gaya kejidupan.
“Saya punya autoimmune masih lagi ada. Kalau tengok mata saya pun sentiasa merah, itu secara amnya adalah daripada kesan radang yang ada dalam badan saya.
“Cuma ketika ini terkawal sebab saya mengamalkan kehidupan yang sihat serta mengubah gaya hidup saya.
“Saya dah tukar gaya hidup saya supaya lebih relak dan tidak ‘work oriented’. Kerja tetap diteruskan cuma tak seperti dulu yang penggambaran dari pagi ke pagi dan sebagainya.
“Alhamdulillah buat masa ini, gangguan sikit-sikit itu ada cuma dapat dikawal daripada penyakit itu mengganggu hidup saya,” katanya kepada Gempak.
Karl berkongsi perkara tersebut ketika sesi sidang media teater lakonannya yang berjudul Teater Muzikal Tom Yam Berdarah yang diadakan di Istana Budaya pada Khamis.
Berkongsi lanjut, bekas peserta Masterchef Selebriti Malaysia ini memaklumkan dia kini masih bergantung dengan pengambilan ubat bagi membantu masalah penyakitnya itu.
“Sekarang ini saya mengambil lima jenis ubat berbanding 16 jenis ketika awal dahulu.
“Namun, jika berlaku masalah radang, saya perlu ambil ubat tambahan atau mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
Sungguhpun begitu, Karl memaklumkan dia masih perlu memantau tahap keradangan dalam badannya kerana ia boleh meningkat dan memerlukan tambahan ubat serta memerlikan rawatan seperti fisioterapi.
“Saya tetap kena pantau supaya radang dalam badan saya tak mencecah angka 15.
“setiap orang ada keradangan dalam badan, paling tinggi adalah 15. Macam saya 80, 90 ataupun 70. Paling rendah dia boleh pergi pun 30, dia tak boleh pergi sampai 15 lagi.
“Jadi saya kena kawal supaya tak mencapai angka yang merisaukan. Kalau tidak, saya perlu tambah ubat dan menjalani rawatan seperti fisioterapi,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Karl bakal tampil sebagai Chef Rahman dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah bakal dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Ogos di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).