Sekilas
- Datuk Awie menerima pengunduran Eddie dan Black dari Wings dengan hati terbuka dan menganggap perpecahan kumpulan adalah perkara biasa dalam dunia muzik.
- Awie mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kedua-dua bekas anggota tersebut dalam kehidupan dan kerjaya mereka.
- Ucapan Awie mengenai lagu-lagu Wings semasa konsert adalah luahan perasaan dan bukan bermaksud menyindir sesiapa, sebaliknya hanya kebetulan susunan lagu tersebut.
Vokalis Wings, Datuk Awie menjelaskan dirinya berlapang dada dengan pengunduran dua anggota kumpulan tersebut iaitu Eddie dan Black beberapa hari sebelum ulang tahun Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi yang berlangsung pada 28 November baru-baru ini.
Menurut Awie, perpecahan yang berlaku dalam sebuah kumpulan adalah biasa terjadi di seluruh dunia.
“Perpecahan kumpulan berlaku di seluruh dunia. Tak ada satu band pun yang orangnya tersusun sampai mati.
“Jadi ia biasa dan tak perlu digusarkan dan tiada apa yang perlu digusarkan,” kata Awie sewaktu ditemui media selepas sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.
Malah Awie mendedahkan sentiasa mendoakan kesejahteraan Black dan Eddie yang pernah susang dan senang bersama Wings selepas keduanya meninggalkan kumpulan tersebut.
“Sepatutnya saya tak perlu beritahu apa doa saya.
“Saya sentiasa doakan dia orang berjaya dunia akhirat, sihat tubuh badan, limpah ruah rezeki. Saya doa.
“Orang tak perlu tahu doa saya sebenarnya, tapi hari ini saya bagi tahu. Setiap sujud saya, dia orang dalam doa saya,” katanya lagi.
Awie turut mengulas tentang ucapannya mengenai rangkaian lagu popular mereka kepada beberapa individu yang didakwa meninggalkan perjuangan serta mengkhianati perjalanan kumpulan rock legenda itu.
Ucapan penuh kiasan itu disampaikan Awie pada segmen terakhir konsert anjuran Rumah Produksi Merah (RPM) yang berlangsung di Idea Live Arena.
“Tak ada apa-apa. Sebenarnya itu list lagu saja. Kebetulan, list lagu dalam Wings tu ada list lagu sebegitu kan. Jadi, saya cuma meluahkan sedikit rasa hati yang melalui lagu-laguan itu.
“Kebetulan, lillahi Taala saya tidak menyusun. Bila kita susun list-list lagu tu kan, tiba-tiba eh... macam kena je. Ha itu je, tak ada apa-apa. Tak ada lebih daripada itu, katanya.
Terdahulu Eddie yang merupakan pemain bass dan Black (dram) mengumumkan secara rasmi meninggalkan Wings pada 8 Oktober 2025.
