Sekilas
- Pelakon Kamal Adli hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk prosiding perceraian dengan isteri, Uqasha Senrose.
- Kamal menyatakan sudah hampir dua bulan tidak berjumpa dengan Uqasha dan berharap doa terbaik untuk mereka berdua.
- Uqasha pula nekad meneruskan perceraian yang difailkan pada 1 Oktober lalu, selepas berkahwin pada November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan.
Pelakon, Kamal Adli tiba di mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pukul 9:34 pagi bagi menghadiri prosiding perceraian dengan isteri iaitu aktres Uqasha Senrose.
Mohon doa yang terbaik, Kamal, berkata, sudah hampir dua bulan dia tidak bersemuka dengan isterinya.
“Saya sihat hari ini, mohon semua doakan yang terbaik untuk kami. Jika Uqasha dengan pendirian dia (tekad mahu cerai), saya juga dengan pendirian saya (pertahankan).
“Sudah hampir dua bulan tidak berjumpa dengan dia dan hari ini saya pertama kali jumpa. Saya masih tidak dapat berhubung dengan dia. Anak saya perlukan ayah dah ibunya,” katanya kepada Gempak.
Kamal hadir bersama peguam, Abdul Hadi Mohammad Salleh dan ditemani beberapa individu dipercayai rakannya.
Sementara itu, Uqasha yang tiba lima minit lebih awal berkata, dia nekad dengan keputusannya mahu meneruskan perceraian.
“Saya nekad. Doakan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Uqasha hadir bersama peguam Muhammad Syazmee Bin Sapian dan ahli keluarga lain termasuk ibunya, Rosmizah Mohd Noor serta adiknya, Nelydia Senrose.
Untuk rekod, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira berusia setahun sembilan bulan.