Sekilas
- Datuk Yusof Haslam tidak merancang untuk bersara walaupun bakal berusia 73 tahun kerana masih menerima tawaran menghasilkan karya baru seperti drama Gerak Khas dan Projek Peronda.
- Beliau pernah berhasrat berhenti pada usia 60 dan 70 tahun, tetapi masih terus bekerja untuk mengelakkan kebosanan dan memastikan kru produksi ada pekerjaan.
- Isterinya, Datin Patimah Ismail, sering bimbang tentang kesihatannya kerana Yusof bekerja hingga awal pagi, namun beliau berpegang pada semangat kuat dan contoh pemimpin negara yang masih aktif di usia lanjut.
Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam tidak mempunyai perancangan untuk bersara daripada dunia seni dalam masa terdekat walaupun bakal menginjak usia 73 tahun pada tahun hadapan.
Menurut Yusof, dia pernah menetapkan beberapa sasaran usia untuk berhenti bekerja, namun hasrat tersebut tidak kesampaian kerana masih menerima tawaran serta permintaan untuk menghasilkan karya baharu.
“Dulu saya pernah fikir usia 60 tahun saya nak berhenti, bila difikirkan kembali, kalau saya berhenti kerja, saya akan jadi bosan.
“Kemudian pada ketika usia 70 tahun saya rasa sudah seperti sudah tiba masanya untuk berhenti tapi tak berhenti juga.
“Tahun depan usia saya sudah mencecah 73 tahun, sebenarnya saya rasa, saya tidak berhenti kerana ada tawaran program yang sering bersambung.
Masih ada yang meminta saya untuk menghasilkan drama Gerak Khas sehinggalah Projek Peronda.
“Saya pula selagi ada rezeki Tuhan bagi, saya akan buat. Sekurang-kurangnya kru produksi saya ada kerja,” ujarnya.
Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam dan Noor Kumalasari sempena Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25) di FINAS, Hulu Langat, pada Khamis.
Dalam pada itu, Yusof juga mengakui isterinya, Datin Patimah Ismail ada kalanya meluahkan rasa bimbang melihat dia terlalu sibuk bekerja sehingga awal pagi.
Malah, isterinya sering mengingatkan dirinya untuk mendapatkan rehat secukupnya memandangkan faktor usia yang semakin meningkat.
“Kadang-kadang isteri saya bising juga, ada satu sudut dihujung bilik yang memang dikhaskan untuk saya buat skrip sampai jam 3,4 pagi.
“Kadang bila dia bangun waktu azan Subuh, dia tepuk bahu saya dan suruh saya tidur. Dia risau saya tidur tak cukup, risau saya sakit kerana usia saya bukannya muda lagi.
“Tapi bagi saya, apa sekali pun saya kata, semangat kena kuat. Saya ambil contoh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, umur beliau sudah hampir 80 tahun masih memimpin negara.
“Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mentadbir dulu juga masih kuat. Jadi pada saya, selagi saya sihat, saya buat kerja,” jelasnya.