Sekilas
- Ustaz Wadi Annuar berkongsi keadaan terkini selepas 14 hari mengalami kesakitan akibat kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik.
- Walaupun X-ray awal tidak menunjukkan kecederaan, CT Scan mengesahkan beliau patah empat tulang rusuk dan mengalami kecederaan di bahagian belakang.
- Ustaz Wadi mengambil keputusan untuk buat CT Scan selepas ubat tahan sakit tidak membantu mengurangkan kesakitannya.
Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar berkongsi keadaan terkini dirinya selepas terlibat dengan kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik kira-kira 14 hari yang lalu.
Menurut Ustaz Wadi, dia mengalami kesakitan pada dua bahagian tubuh ekoran kemalangan yang berlaku itu.
“Saya dah berapa belas hari kemalangan kemudian saya rasa sakit pada dua tempat.
“Tak lega selama 14 hari walaupun dah makan ubat tahan sakit setiap hari,” kongsinya menerusi satu perkongsian di TikTok.
Berkongsi lanjut, Ustaz Wadi memaklumkan dia kemudiannya mengambil keputusan untuk melakukan imbasan CT (CT Scan) di hospital selepas pemeriksaan X-ray yang dibuat sebelum ini tidak menunjukkan sebarang kecederaan terhadap dirinya.
Keputusan CT Scan itu kemudiannya mendapati empat tulang rusuknya patah termasuk mengalami kecederaan pada bahagian belakang.
“Tadi saya pergi hospital untuk periksa dengan CT Scan. Hari itu X-ray saja, mereka kata tiada apa.
“Bila CT Scan tadi, rupanya patah empat di tulung rusuk. Dekat belakang pun patah juga.
Patut saya makan ubat tahan sakit, tiada apa-apa perubahan,” kongsinya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Ustaz Wadi terlibat dengan kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik.
Maklumat mengenai insiden itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosial Ustaz Wadi yang memaklumkan beliau bersama beberapa individu lain terbabit dalam kemalangan jam 2 pagi pada Oktober.
Sumber: TikTok