Skip to main content

Hiburan

Video Arwah Rebah Di Airport Tidak Wujud, Suami Nadia Kesuma Tampil Betulkan Fakta - “Kami Tak Tahu Lokasi Sebenar…”

Nadia Kesuma

Sekilas

  • Suami Allahyarham Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, menafikan wujudnya gambar yang menunjukkan isterinya rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah.
  • Keluarga telah memohon rakaman video kejadian sejak 15 Januari lalu tetapi permohonan masih belum diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
  • Berita kematian Nadia disahkan oleh Wisma Putra pada 18 Januari dengan waktu kematian rasmi pada 8.07 pagi waktu Jeddah, namun lokasi sebenar kejadian tidak diketahui keluarga.

Suami kepada Allahyarham pelakon Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah tampil menafikan terdapat gambar memperlihatkan isterinya rebah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz, Jeddah. 

 

Muhammad Kamarul memberitahu dia sekeluarga sudah memohon untuk mendapatkan rakaman video sejak arwah hilang pada 15 Januari lalu namun permohonan tersebut masih belum diluluskan. 

 

“Terdapat posting bergambar yang memaparkan screenshot yang kononnya menunjukkan arwah rebah di airport. Untuk pengetahuan semua, bukti video tersebut tidak wujud, buat masa sekarang.

 

“Kami sekeluarga, ada membuat permohonan rasmi menerusi kerajaan Malaysia ke kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan video (kepada kami, keluarga saja) sejak arwah hilang 15 Januari. 

 

“Tapi malangnya, permintaan kami masih belum diluluskan sehingga hari ini (hari kami meninggalkan Jeddah kembali ke Malaysia). 

 

“Mereka mempunyai protokol, polisi dan prosedur yang berbeza. Sebagai keluarga, kami sedih dan kecewa tetapi kami menghormati cara mereka,” tulisnya menerusi perkongsian di Facebook. 

 

Pada perkongsian yang sama, beliau turut berkata dia mengetahui arwah isterinya rebah di lapangan terbang selepas dimaklumkan pegawai Saudi tanpa menunjukkan bukti video. 

 

“Jadi bagaimana kita tahu bahawa arwah meninggal dunia di airport Jeddah? Kejadian itu DITERANGKAN (berdasarkan CCTV) oleh pegawai Saudi di sana. 

 

“Video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami. Tidak juga diberitahu di mana kejadian tersebut berlaku. Oleh itu, jika ada kenyataan yang menyatakan arwah jatuh disekian tempat, itu tidak benar. 

 

“Apa yang diceritakan, adalah arwah dibawa keluar menggunakan stretcher ke ambulans dan diberikan medical attention secepat mungkin,” katanya. 

 

Tidak mengetahui lokasi sebenar arwah rebah, beliau bagaimanapun menjelaskan pihak keluarga dimaklumkan berita kematian Nadia oleh Wisma Putra pada 12.17 pagi, 18 Januari lalu. 

 

“Kesimpulan: kami tidak tahu lokasi di mana arwah pengsan. Tapi kami tahu waktu kematian 8 antara 8.10 pagi (waktu Jeddah atau 1 antara 1.10 petang waktu Malaysia). 

 

“Dalam posting anak saya (Myraa) ditulis sebagai 8.05 malam. Itu kesilapan anak saya sebab kami diberitahu berita kematian oleh Wisma Putra, pada 12.17 pagi, (18 Januari 2026). 

 

“Oleh itu dia fikirkan kematian arwah adalah pada waktu malam. Official time of death yang diberikan oleh pihak hospital di Jeddah adalah 8.07 pagi (waktu Jeddah atau 1.07 petang waktu Malaysia),” ujarnya. 

Must-Watch Video

Advertisement