Sekilas
- Amelia Henderson masih belum mendedahkan masa depan podcast Studio Sembang walaupun beberapa video teaser di Instagram mencetuskan spekulasi tentang kemungkinan pindah lokasi atau penutupan.
- Podcast tersebut akan menyambut ulang tahun keempat pada hari yang sama dengan hari lahir Amelia, dan pengumuman rasmi dijangka dibuat pada hari tersebut.
- Amelia mengakui perlunya pembaharuan untuk memastikan kandungan podcast kekal segar dan relevan, sambil mengajak penonton meneliti teaser untuk mendapatkan petunjuk tentang perkembangan terbaru.
Pengacara dan pelakon Amelia Henderson membiarkan persoalan mengenai masa depan podcast Studio Sembang terus menjadi tanda tanya selepas beberapa video ‘teaser’ yang dimuat naik dalam Instagram mencetuskan pelbagai spekulasi netizen temasuk program itu bakal berpindah atau ditutup.
Menurut Amelia, perkembangan tersebut berkait dengan ulang tahun keempat podcast berkenaan yang jatuh pada hari sama dengan ulang tahun kelahirannya, Selasa ini.
Bagaimanapun, dia belum bersedia mendedahkan perkara sebenar dan meminta orang ramai menantikan pengumuman mengenai perkara itu.
“Podcast itu sama tarikh lahir dengan saya. Jadi, genap Selasa ini adalah empat tahun kami bersiaran.
“Saya rasa untuk tahun keempat ini, kita kenalah fikirkan sesuatu untuk podcast kita. Pastinya sesuatu sedang berlaku.
“Saya tak boleh beritahu apa yang sedang berlaku, tetapi anda akan tahu pada hari Selasa,” katanya.
Mengulas video ‘teaser’ yang dikongsikan, Amelia berkata, setiap paparan mempunyai petunjuk mengenai perkara yang bakal diumumkan.
Katanya, penonton perlu meneliti kandungan tersebut beberapa kali untuk memahami cerita di sebaliknya.
“Kalau pergi tengok perkongsian harian yang kami keluarkan dalam Instagram, ada cerita di sebalik semua itu kalau pandai cari pembayang.
“Apa yang anda nampak itu kena tengok dua tiga kali, mungkin boleh dapat petunjuk di situ. Itu sahaja saya boleh cakap,” ujarnya.
Diasak sama ada Studio Sembang benar-benar bakal menamatkan siaran, Amelia sekali lagi memberikan jawapan berseloroh tanpa mengesahkan spekulasi berkenaan.
“Saya tak tahulah. Mungkin tutup kot. Sedihnya, tutup Studio Sembang. Sayang.
“Yang itu nanti anda akan tahu. Kami akan umumkan nanti. Terima kasih atas sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Amelia mengakui perjalanan hampir empat tahun mengendalikan podcast tersebut turut disertai rasa kurang yakin terhadap karya sendiri.
Menurutnya, pembaharuan perlu difikirkan bagi memastikan kandungan yang dihasilkan terus segar dan relevan kepada penonton.
“Tak tipulah kami pernah ada banyak rasa tidak yakin dengan podcast sendiri. Macam mana nak betulkannya?
“Semua artis akan rasa seni kita itu tak boleh dibiarkan basi. Kita kena fikirkan sesuatu untuk jadikannya terkini juga.
“Jadi, banyak pemikiran yang masuk ke dalam kempen sempena genap empat tahun ini yang akan diumumkan nanti. Mungkin,” tuturnya.
Terdahulu, beberapa video ‘teaser’ Studio Sembang dalam Instagram mengundang pelbagai teka teki apabila memaparkan gambaran seolah-olah studio berkenaan bakal berpindah.
Perkongsian tersebut turut mencetuskan persoalan sama ada podcast kendalian Amelia itu akan menamatkan siaran.