Sekilas
- Jonathan Davis, vokalis kumpulan nu metal Korn, mengadakan majlis perkahwinan intim dengan Brittany Parisi di The Neighborhood Church, California, dihadiri hanya 80 tetamu termasuk ahli Korn.
- Majlis yang berlangsung pada 3 Julai itu bertemakan romantik dengan inspirasi dari Itali, lokasi di tepi tebing menghadap lautan menyerupai suasana Florence.
- Davis melamar Parisi di Itali tahun lalu di hadapan karya Botticelli, dan mereka memilih elemen Itali sebagai tema utama dalam dekorasi majlis perkahwinan mereka.
Hanya 80 orang tetamu. Itu jumlah jemputan yang hadir ke majlis perkahwinan vokalis kumpulan nu metal terkenal Korn, Jonathan Davis dengan kekasihnya, Brittany Parisi selepas tujuh tahun bercinta.
Meski hanya dihadiri 80 orang tetamu, majlis perkahwinan mereka tetap berlangsung dalam suasana romantik yang diadakan di The Neighborhood Church, Palos Verdes, California pada 3 Julai lalu.
Menurut Billboard, pasangan itu memilih untuk meraikan hari bahagia mereka dalam suasana intim di tepi tebing menghadap lautan dengan dihadiri anggota Korn iaitu Brian Welch, James Shaffer, Ray Luzier dan Ra Diaz.
"Kami hanya menjemput keluarga dan sahabat terdekat. Lokasi di tepi tebing yang menghadap lautan itu membuatkan kami terasa seperti berada di Itali, tempat kami bertunang tahun lalu.
"Berkahwin bersama orang yang paling kami sayangi di lokasi yang begitu indah dan intim adalah satu rahmat. Ia menjadi permulaan paling sempurna untuk kehidupan baharu kami sebagai suami isteri," ujar mereka.
Ini merupakan perkahwinan ketiga vokalis berusia 55 tahun itu. Malah Davis menyifatkan perkahwinan bersama pereka barangan kemas berusia 39 tahun itu seperti sebuah cerita dongeng.
Terdahulu, Davis melamar kekasihnya itu ketika sedang menjalani jelajah konsert di Itali tahun lalu. Lamaran romantis itu dilakukan di hadapan karya agung The Birth of Venus hasil pelukis terkenal, Sandro Botticelli, yang turut menjadi inspirasi utama tema perkahwinan mereka.
Parisi mendedahkan Davis sengaja merancang lawatan mengejut ke Galeri Uffizi sebelum melamarnya. Menurutnya, dia sememangnya meminati warisan Itali serta sejarah keluarga Medici, yang terkenal sebagai penaung kepada karya ikonik Botticelli tersebut.
Sentuhan elemen Itali itu turut diterapkan dalam dekorasi majlis bagi menghadirkan suasana romantik Florence di pesisir pantai California.