Skip to main content

Hiburan

Wajah Bengkak & Alami Pendarahan Kepala, Ezzanie Jasny Kongsi Foto Selfie Lepas Kemalangan, Reda Percutian Ke London Terbatal

ckckc

Sekilas

  • Pelakon Ezzanie Jasny mengalami kecederaan serius di bahagian tengkorak selepas kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya, dan dirawat di zon kritikal sepanjang malam kejadian.
  • Keadaan Ezzanie kini semakin stabil dengan perkembangan positif walaupun masih mengalami bengkak di muka dan pendarahan di tengkorak.
  • Perjalanan percutian panjangnya ke London terpaksa ditangguhkan akibat kemalangan tersebut, namun dia percaya ada hikmah di sebalik kejadian itu.

Pelakon Ezzanie Jasny berkongsi perkembangan terkini mengenai keadaannya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Ezzanie memaklumkan dia mengalami kecederaan pada bahagian tengkorak dan terpaksa menerima rawatan di zon kritikal sepanjang malam kejadian.

“Sekadar mahu menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku mengenai kemalangan itu. Saya terlibat dalam satu kemalangan kereta bersama ibu bapa saya. Alhamdulillah, ibu dan ayah saya berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami lebam ringan di bahagian tangan serta kaki,” tulisnya.

Menurut Ezzanie, dia merupakan individu yang paling terjejas dalam insiden tersebut kerana duduk di bahagian tempat duduk belakang, di belakang pemandu.

“Saya yang paling teruk tercedera. Saya duduk di bahagian belakang, di belakang pemandu dan tidak pasti sama ada saya terhantuk pada cermin di sebelah kanan atau tercampak ke bahagian tali pinggang keledar.

“Disebabkan itu, saya dirawat di zon kritikal (zon merah) sepanjang malam,” katanya.

Bagaimanapun, Ezzanie bersyukur apabila keadaannya kini semakin stabil dan menunjukkan perkembangan positif.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Saya kini sudah sedar sepenuhnya, boleh bangun dan berjalan semula. Kaki saya berfungsi dengan baik, walaupun bengkak di bahagian muka masih datang dan pergi.

“Saya juga mengalami pendarahan di sekitar kawasan tengkorak, namun saya amat bersyukur dengan keadaan saya setakat ini,” jelasnya.

Dalam perkongsian sama, Ezzanie turut memaklumkan percutian panjangnya ke London terpaksa ditangguhkan susulan kejadian tersebut.

“Saya sepatutnya pergi ke London untuk percutian panjang selama sebulan, tetapi mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini.

“Mungkin jika kemalangan ini tidak berlaku, sesuatu yang lebih buruk boleh terjadi semasa saya berada di sana. Jadi buat masa ini, percutian saya ke London terpaksa ditangguhkan.

“Memang sedih untuk melepaskan sesuatu yang sangat saya nantikan, namun saya percaya pada perancangan dan ketentuan Allah. Segala yang berlaku pasti ada sebabnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ezzanie memaklumkan kepada umum bahawa dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bersama ibu bapanya, namun memaklumkan kedua-duanya berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Must-Watch Video

Advertisement