Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, berkongsi kisah pertemuan dengan Bella Astillah yang bermula dari sesi fotografi pakaian raya sebagai pasangan pilihan keempat.
- Syed Saddiq menghargai kesetiaan Bella yang sentiasa berada di sisinya ketika menghadapi ujian hidup termasuk kes mahkamah.
- Pasangan BASS selamat diijabkabulkan pada 10 Oktober lalu dengan majlis resepsi meriah di MITEC yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu.
Sekadar menjadi pilihan keempat untuk bergandingan dalam sesi fotografi bago sebuah jenama pakaian raya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menyangka pelawaan Bella Astillah akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
Mengimbau permulaan hubungan mereka, Syed Saddiq berkata, semuanya bermula dengan satu panggilan telefon daripada Bella ketika dirinya berada di Parlimen.
Menurutnya, penyanyi dan pelakon itu menghubunginya untuk menawarkan kerjasama sebagai pasangan bagi sebuah sesi fotografi pakaian raya.
“Bella dengan malu-malu kata, ‘Nak tak jadi partner I kita buat photoshoot?’ Saya pada masa tersebut kata, ‘No problem, sebab Parlimen pun dah nak habis’.
“Dia kata ada pembayaran. Saya kata lupakan pembayaran itu, pastikan bos berikan baju raya percuma kepada anak yatim yang kita bantu,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi.
Bagaimanapun, Syed Saddiq berseloroh mendedahkan dirinya bukan individu pertama yang dihubungi Bella bagi menjayakan kerjasama tersebut.
Sebaliknya, tiga lelaki lain terlebih dahulu menerima pelawaan berkenaan, namun masing-masing tidak dapat memberikan komitmen atas urusan tertentu.
“Saya bukan pilihan pertama Bella. Bella panggil tiga lelaki yang lain.
“Tetapi atas sebab-sebab tertentu, mungkin kerana izin Allah juga, ketiga-tiganya sibuk dan ada urusan masing-masing dan tak dapat untuk bekerjasama.
“Kerana ketentuan Allah, walaupun pilihan yang keempat, akhirnya kita jadi pilihan seumur hidup. Insya-Allah sampai ke jannah,” ujarnya.
Menyifatkan pertemuan mereka sebagai aturan Allah, Syed Saddiq berkata, ujian hidup yang dilalui masing-masing menjadi asbab hubungan tersebut terjalin.
Menurutnya, tanpa pengalaman berdepan kesukaran termasuk ketika turun naik mahkamah, perjalanan hidupnya mungkin tidak menemukan dirinya dengan Bella.
“Kalau saya tidak diuji di mahkamah ketika saya berada di titik yang paling rendah sekali, mungkin saya tak jumpa dengan Bella.
“Kerana asbab ujian yang kita lalui, alhamdulillah kita bertemu,” katanya.
Dalam ucapan sama, Syed Saddiq turut menzahirkan penghargaan terhadap kesetiaan Bella yang berada di sisinya sepanjang melalui fasa sukar tersebut.
Katanya, kehadiran isterinya bukan hanya ketika segala kesulitan berakhir, sebaliknya wanita itu bersama-samanya mengharungi ujian.
“Bella bukan sahaja ada di sana apabila ribut dan tsunami dah tamat. Bella ada di sana bersama saya di dalam ribut.
“Masa saya berada di tahap paling bawah dalam hidup saya, dia berdiri di sisi saya sebagai pasangan yang setia.
“Untuk itu saya akan sentiasa bersyukur dan terhutang budi kepada kamu,” luahnya.
Untuk rekod, majlis resepsi pasangan yang dikenali sebagai BASS itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 tetamu.
Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu.
Pasangan itu melangsungkan akad nikah di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 10.40 pagi dengan mas kahwin RM500.