Seorang wanita berusia 40-an ditahan polis selepas cuba menceroboh kawasan kediaman ahli kumpulan BTS, Jungkook, di Seoul pada Sabtu.
Memetik laporan The Korea Herald, wanita tersebut berjaya memasuki kawasan tempat letak kereta bawah tanah di pangsapuri Jungkook sekitar jam 11.20 malam dengan mengekori sebuah kenderaan yang masuk.
Kejadian itu disedari pengawal keselamatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum segera menghubungi pihak polis.
Advertisement
Apabila ditahan, wanita terbabit mendakwa dia hanya mahu “melawat rumah seorang rakan.”
Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Ini merupakan insiden kedua membabitkan pencerobohan di kediaman penyanyi Seven itu.
Pada Jun lalu, seorang wanita berusia 30-an dari China cuba memasuki rumah Jungkook pada hari yang sama dia menamatkan khidmat wajib tenteranya.
Wanita tersebut dilaporkan cuba memasukkan kod pintu rumah sebelum ditahan polis.
Dia kemudian mengaku datang ke Korea Selatan semata-mata untuk bertemu Jungkook selepas penyanyi itu menamatkan perkhidmatannya.
Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak pendakwaan.