Sekilas
- Kris Dayanti memuji Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wanita kuat yang tetap mengekalkan kelembutan dalam kepimpinan politiknya.
- Mereka pernah bertemu di Jakarta dan Kuala Lumpur, di mana Kris terkesan dengan semangat dan kecergasan Dr Wan Azizah walaupun berbeza usia.
- Kris menyeru agar wanita diberi peluang sama rata dalam pelbagai bidang dan menyatakan kesyukuran dapat menyertai acara Ultra Kalcer di Malaysia sebagai artis jemputan dari Indonesia.
Penyanyi Indonesia, Kris Dayanti menyifatkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai figura wanita yang cukup dikagumi, khususnya dari segi keperibadian, keteguhan semangat serta penglibatannya dalam bidang politik.
Jelasnya, dia tertarik dengan keperibadian Dr Wan Azizah yang membuktikan seseorang wanita tidak perlu mengorbankan kelembutan untuk menjadi seorang pemimpin yang kuat.
“Sejak 2018, negara saya juga sedang berjuang dalam memperjuangkan demokrasi. Selepas saya tahu dan mendengar cerita mengenai Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah, saya tertarik dengan beliau.
“Kerana saya berfikir perempuan tidak harus kehilangan kelembutannya untuk menjadi seorang perempuan yang kuat dan saya melihat Wan Azizah ini sangat berbakat dalam politik.
“Menurut saya, saya bangga menjadi wanita kerana dapat berhubung dengan beliau sesama wanita,” katanya.
Mengimbas pertemuan bersama Dr Wan Azizah, Kris Dayanti berkata mereka pernah bertemu di Jakarta pada Julai lalu sebelum berpeluang bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur.
Malah, penyanyi itu mengakui cukup terpukau melihat semangat dan kecergasan Dr Wan Azizah meskipun mereka mempunyai perbezaan usia.
“Saya sangat terpukau dengan semangatnya. Beliau mungkin sedikit berbeza dari segi usia dengan saya, tetapi beliau sangat sihat dan membuatkan saya terus bersyukur melihat apa yang sudah kita perjuangkan, sama ada sebagai isteri, ibu dan juga menerusi kerjaya.
“Beliau juga sangat suka dengan sukan yang saya pilih iaitu wushu dan saya terkejut kerana beliau menyediakan satu set untuk menunjukkan kemahirannya sebagai atlet wushu.
“Bagi saya, itu sangat menyeronokkan kerana dapat melihat beliau menerima saya dengan santai.
“Kami juga banyak bercerita mengenai anak-anak dan cucu. Alhamdulillah, mudah-mudahan kerjasama yang baik antara wanita Malaysia dan Indonesia dapat terus terjaga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kris Dayanti turut menyuarakan pandangannya mengenai kepentingan memperkasakan golongan wanita agar mereka mendapat peluang dan ruang yang sama rata dengan lelaki dalam pelbagai bidang.
Katanya, wanita perlu diberikan peluang untuk berkongsi pandangan, menyumbang idea serta memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Kita juga boleh terus melakukan banyak perkara untuk wanita supaya mereka dapat duduk sama taraf dengan lelaki, berkongsi pemikiran dan memberikan sumbangan.
“Bagi saya, peranan wanita dan wanita yang bekerja adalah satu perkara yang saling berkaitan. Jadi, jangan rasa bersalah apabila wanita bekerja di luar.
“Pada masa sama, kita juga harus menyumbang kepada masyarakat dan membangunkan bangsa melalui kemampuan yang kita miliki,” katanya.
Sementara itu, Kris Dayanti turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menjadi antara artis jemputan dari Indonesia yang memeriahkan acara Ultra Kalcer di Malaysia.
Menurutnya, meskipun hadir daripada generasi berbeza, dia percaya muzik yang dihasilkan dengan penuh keikhlasan akan sentiasa mendapat tempat di hati pendengar tanpa mengira usia.
“Saya senang kerana Ultra Kalcer ini saya tahu adalah muzik anak muda. Mungkin saya datang daripada generasi yang berbeza dengan anak-anak Ultra Kalcer, tetapi saya semakin yakin apabila melihat mereka bahawa muzik yang hadir dan dihasilkan dari hati, insya-Allah akan terus hidup di hati generasi mana pun.
“Jadi, mudah-mudahan Ultra Kalcer dapat dilaksanakan secara berterusan, akan menjadi lebih berjaya dan mampu menjadi jambatan perpaduan antara dua negara.
“Saya sebagai artis dan penyanyi jemputan dari Indonesia bangga kerana ramai adik-adik daripada kumpulan band indie serta penyanyi solo wanita dijemput untuk membuat persembahan di Ultra Kalcer di Malaysia.
“Terima kasih kerana memberikan ruang, kesempatan dan juga kepercayaan,” katanya.