Sekilas
- Zarif Ghazzi mengakui penghayatan watak Abbas dalam KUDRAT1968: High Council sangat mendalam sehingga terbawa-bawa ke kehidupan sebenar, termasuk memarahi rakan serumah tanpa sebab besar.
- Pelakon berusia 22 tahun itu mengalami kesan fizikal dan emosi seperti urat kepala berdenyut akibat tekanan ketika melakonkan watak tersebut, namun menganggapnya sebagai sebahagian tanggungjawab sebagai pelakon.
- KUDRAT 1968: High Council adalah prekuel kepada siri High Council dan akan ditayangkan pada 11 September, menampilkan barisan pelakon termasuk Zarif Ghazzi dan Mierul Aiman.
Pelakon, Zarif Ghazzi mengakui penghayatannya terhadap watak Abbas dalam KUDRAT1968: High Council begitu mendalam sehingga karakter tersebut terbawa-bawa ke kehidupan sebenarnya.
Jelas Zarif atau nama lengkapnya, Zarif Farahi Effie Ghazzi, 22, penghayatan terlalu mendalam terhadap karakter tersebut menyebabkannya pernah terbawa emosi ketika berada di rumah sehingga secara tidak sengaja memarahi rakan serumah hanya disebabkan perkara kecil.
“Of course, bila kita percaya, sebab kami sebagai pelakon, kami perlu percaya. Saya perlu percaya yang watak ataupun roh Abbas itu masuk ke dalam saya supaya saya dapat keluarkan watak Abbas daripada segi lakonan. Bila saya sendiri percaya, penonton juga boleh percaya bahawa saya memang itu bukan saya, itu bukan Zarif Ghazzi, itu adalah Abbas.
“Memang ada sampai saya terbawa balik rumah. Saya tiba-tiba termarah housemate saya sebab just a small thing, macam dia terlupa nak cuci pinggan atau apa. Bila saya masuk bilik, saya diam-diam fikir, kenapa saya nak marah kawan-kawan saya, housemate saya? Itu adalah Abbas, itu bukan saya.
“Jadi antara cara untuk saya keluarkan Abbas ini, saya just perlu bercuti, pergi bercuti di mana-mana, di laut atau tempat-tempat yang nature. Alhamdulillah, sekarang dah tak ada side effect,” katanya kepada Gempak.
Zarif berkata demikian ketika ditemui pada sidang media KUDRAT1968 di TGV Suria KLCC.
Dalam pada itu, Zarif juga mengakui karakter Abbas masih meninggalkan kesan terhadap dirinya sehingga kini.
“Sejujurnya Abbas masih kekal dengan saya, dia masih ada.
“Macam contohnya sebelum ini saya kurang ada urat di kepala, jadi waktu saya melakonkan watak Abbas ini, antara side effect yang saya kena ialah urat itu dah sampai ke telinga, dia berdenyut-denyut.
“Saya pergi kepada doktor dan doktor just cakap saya memang kena rehat. Saya tak cukup rehat, saya terlalu depressed dan sebagainya. Semuanya demi untuk menghasilkan watak Abbas,” ujarnya.
Biarpun berdepan kesan fizikal dan emosi, Zarif menganggap perkara tersebut sebagai sebahagian daripada perjalanan serta tanggungjawabnya sebagai seorang pelakon.
Malah, dia mengakui sanggup melakukan apa sahaja perubahan diperlukan sekiranya ia dapat membantu menghasilkan watak yang benar-benar meyakinkan.
“Bagi saya ini adalah journey saya untuk melakonkan watak Abbas. Walaupun saya kena effect apa-apa, itulah tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon untuk melakonkan tak kisahlah watak sesusah mana atau se-challenging mana pun.
“Saya memang bermati-matian. Saya memang minat berlakon. Jadi tak kisahlah, bagi saya watak yang saya perlu kurus kering, watak kanser pun saya tak ada masalah. Jadi watak askar, atlet, actor, just give it to me and I will do it my best. I will give 100% for that role,” ujarnya lagi.
Sekadar info, KUDRAT 1968 merupakan prekuel kepada dunia High Council yang membawa penonton menelusuri permulaan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar, sekali gus menjadi titik awal kepada kisah yang diperkenalkan menerusi siri Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council.
Naskah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff itu dibintangi Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.
KUDRAT 1968: High Council bakal menemui peminat pada 11 September ini.