Sekilas
- Drama Bahagia Yang Tertangguh mendapat perhatian ramai kerana watak Juriah@Kak Ju yang dibawa oleh Rozita Che Wan, yang menerima reaksi marah dari penonton.
- Che Ta berkongsi cabaran lakonan watak tersebut yang memerlukan dia menjerit hampir setiap hari dan ini adalah drama pertamanya selepas hampir tiga tahun berehat.
- Dia menegaskan watak Juriah hanyalah lakonan dan berharap penonton tidak membencinya, sambil mengingatkan bahawa Che Ta dan Juriah adalah dua individu berbeza.
Baru sahaja beberapa episod ditayangkan namun, drama Bahagia Yang Tertangguh telah membuatkan ramai penonton berasa geram dengan watak Juriah@Kak Ju yang dibawa pelakon, Rozita Che Wan.
Terbaharu, Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta menganggap lakonannya itu sebagai menjadi selepas ramai penonton memberi reaksi marah sehinggakan ada yang mahu wataknya itu ditidurkan.
“Watak saya itu membuatkan ramai yang membenci dan bila saya baca komen selepas episod pertama ditayangkan, ada yang cakap kalau boleh episod kedua nak Juriah ditidurkan.
“Tapi itulah kalau ada yang membenci maka menjadilah lakonan saya,” katanya kepada Gempak.
Che Ta berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Anak Mami Jarum: Dalca Cinta Kerabu di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai cabaran, pemilik nama Rozita Abu Bakar ini berkata watak Juriah itu memerlukannya untuk menjerit di lokasi penggambaran hampir setiap hari ditambah pula ini drama pertamanya selepas hampir tiga tahun.
“Cabaran untuk drama ini adalah apabila saya kena menjerit hampir setiap hari. Saya pula terima tawaran ini selepas hampir tiga tahun tak berlakon jadi itu menjadi satu cabaran.
“Hari pertama di set penggambaran saya sedikit stres sebab banyak kali kena retake sebab pengarah, Osman Ali merupakan seorang yang kalau dia tak dapat apa yang dia nak, kita kena buat sampai jadi,” kongsinya.
Dalam pada itu, Che Ta menegaskan watak Juriah dalam drama tersebut hanyalah lakonan semata-mata dan berharap penonton tidak membencinya.
“Janganlah bila jumpa di luar korang nak pijak leher saya. Che Ta dan Juriah tak sama tau.
“Itu semua sekadar lakonan dan sebenarnya jarang juga saya pegang watak antagonis seperti ini,” ujarnya.
Selain Che Ta, drama arahan Osman Ali ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Nad Zainal, Izzue Islam, Kamal Adli, Datin Seri Nina Juren, Mimi Erdina, Rosnah Johari, Riz Amin dan Adrean Mateen.
Bahagia Yang Tertangguh bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan strim di Sooka.