Sekilas
- Fatin Afeefa jelaskan penampilannya dalam filem Bisikan yang dirakam enam tahun lalu sebelum dia berhijab dan terikat kontrak dengan produksi.
- Dia terima pelbagai reaksi netizen selepas promosikan filem itu semula di Instagram, namun memilih untuk tidak membalas kerana penonton boleh lihat perbezaan dirinya sekarang.
- Filem Bisikan arahan Opie Zami akan ditayangkan di pawagam mulai 19 November ini, menampilkan barisan pelakon seperti Azhan Rani dan Vanidah Imran.
Pelakon, Fatin Afeefa memahami jika ada netizen mempersoalkan mengenai penampilannya dalam filem Bisikan.
Jelas Fatin, filem tersebut menjalani penggambaran kira-kira enam tahun lalu, sebelum dia mengambil keputusan untuk berhijab.
Menurutnya, dia juga sudah terikat dengan kontrak dan perlu menghormati komitmen terhadap pihak produksi serta seluruh tenaga kerja yang terlibat.
"Apabila trailer keluar, ada saja yang berkata saya nak berlakon filem terus buka tudung ke? Tapi saya faham perkara ini sudah berlaku enam tahun lalu dan saya tidak boleh hentikannya.
"Saya pun sudah tandatangan kontrak. Kita kena hormat pihak produksi, kru dan seluruh pasukan yang terlibat. Takkan saya nak beritahu penerbit supaya tidak keluarkan filem ini hanya kerana saya sudah bertudung? Itu tidak adil untuk semua orang.
"Saya tidak mahu sia-siakan peluang orang lain dan percaya akan ada yang berkata-kata nanti. Namun, saya juga percaya dengan diri sendiri kerana itu adalah kisah lalu saya. Sekarang, saya membantu mempromosikan filem ini atas dasar tanggungjawab sahaja," katanya kepada Gempak.
Fatin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan filem Bisikan di Damansara, Selangor, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai reaksi orang ramai, Fatin mengakui menerima pelbagai mesej selepas memuat naik semula bahan promosi filem tersebut di Instagram.
Namun, dia memilih untuk tidak memberikan sebarang respons kerana percaya penonton dapat melihat sendiri perbezaan penampilannya ketika ini.
"Saya memang terima macam-macam DM selepas muat naik semula di Instagram. Tapi saya tidak balas sebab nanti mereka akan tahu sendiri.
"Saya tidak akan buat penafian atau apa-apa kerana kalau tengok filem ini pun boleh nampak perbezaannya. Dalam filem saya nampak tembam sedikit, sekarang sudah kurus sekeping.
"Saya rasa apabila orang tengok di media sosial, itu sudah mencukupi. Tidak perlu jelaskan banyak kali kerana saya pun sudah empat tahun bertudung," ujarnya.
Dalam pada itu, Fatin tidak menafikan perasaan malu menyelubungi dirinya ketika menonton semula lakonan yang dirakamkan sebelum berhijab.
Bagaimanapun, dia menerima perkara tersebut sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjaya seninya, apatah lagi bidang lakonan pernah menjadi sumber rezeki buat dirinya serta keluarga.
"Memang sangat janggal. Masa tengok filem ini pun saya tutup muka sambil terfikir, 'Ya Allah, aku ke itu?' Malu sendiri.
"Tetapi saya terima kerana perkara ini saya lakukan sejak kecil. Tidak boleh juga nak kata filem ini tidak boleh ditayangkan hanya kerana saya sudah berhijab dan berubah.
"Lakonan inilah juga yang pernah memberi rezeki kepada saya dan keluarga. Benda yang lepas, biarkan lepas," katanya lagi.
Mengulas mengenai kemungkinan berdepan kecaman selepas filem itu ditayangkan, Fatin mengakui sudah bersedia dengan segala reaksi netizen.
Jelasnya, dia tidak mahu terlalu memikirkan pandangan negatif orang lain kerana kritikan sudah menjadi sebahagian daripada perkara yang perlu dihadapi sebagai anak seni.
"Kita tidak buat apa-apa pun kena kritik. Jadi kalau filem ini kena kritik, suka hati merekalah. Daripada kecil kita sudah faham ragam netizen macam mana.
"Cuma sekarang lebih ekstrem, tetapi saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan tidak pernah ambil hati. Senyum sajalah. Nanti penat, diamlah mereka," jelasnya.
Sekadar info, filem Bisikan arahan Opie Zami yang mengetengahkan genre seram thriller itu bakal menemui penonton di pawagam pada 19 November ini.
Selain Fatin, filem berkenaan turut dibintangi Azhan Rani, Vanidah Imran, Iman Zulkarnain, Puteri Rayyana dan Altimet.