Skip to main content

Selebriti

“Ya, Kami Masih Suami Isteri, Doakan Yang Baik-Baik” - Kaka Azraff

Kaka ulas isu rumah tangga

Sekilas

  • Kaka Azraff mengesahkan dia masih suami isteri dengan Adam Azriff dan memilih untuk tidak terlalu berkongsi hal rumah tangga demi menjaga privasi dan kesihatan mental anak-anak.
  • Kaka mengambil pendekatan berhati-hati dalam berkongsi kehidupan peribadi selepas mengalami pengalaman yang membuatnya lebih waspada terhadap penyakit ain dan kesan negatif pendedahan terbuka.
  • Kaka dan Adam pernah bercerai talak satu pada Oktober 2024 tetapi kembali rujuk pada Januari lalu.

Persoalan mengenai status rumah tangga penyanyi, Kaka Azraff bersama suami, Adam Azriff akhirnya terjawap apabila Kaka mengesahkan mereka masih suami isteri.

Menurut Kaka, dia tidak berniat untuk menyembunyikan status rumah tangganya cuma mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

“Ya, kami masih suami isteri dan doakan yang baik-baik untuk kami.

“Sebenarnya saya bukannya takut nak dedahkan status rumah tangga, cuma takut untuk terlalu menghebahkan benda macam ini.

“Dulu saya terlalu naif, tak percaya mengenai penyakit ain tapi selepas apa yang saya lalui, saya menjadi lebih berhati-hati untuk berkongsi hal peribadi sama ada di media sosial mahupun kepada umum.

“Bukan saya tak nak berkongsi, tapi bagi saya hal rumah tangga adalah  benda yang terlalu peribadi. Jadi cukup orang tahu kisah dasar saja,” ujarnya.

Kaka berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul MPT bertempat di Bijou Cafe, Ara Damansara pada Isnin.

Tambah Kaka lagi, dia kurang selesa untuk berbicara secara terbuka hal peribadi terutama membabitkan rumah tangga demi menjaga kesihatan mental anak-anak.

“Saya hanya minta doa dari semua, kalau boleh saya tak nak sentuh langsung hal peribadi demi anak-anak.

“Mereka akan membesar dan satu hari nanti mereka boleh membaca. Jadi saya tak nak anak-anak baca berita yang tak ‘best’ mengenai rumah tangga saya dan bapa mereka kerana benda itu tak boleh nak tutup.

“Tapi saya kena terima juga kerana itu adalah fasa yang perlu saya lalui sebagai selebriti.

“Tapi saya hormati pertanyaan rakan media. Saya pun tak naklah mengelak sangat, cuma saya tak nak terlampau beriya-iya berkongsi hal rumah tangga.

“Lagipun kita tak akan pernah tahu apa akan berlaku  ke depan, jadi saya tak naklah terlalu yakin,” jelasnya.

Terdahulu Kaka dan Adam sah bercerai talak satu secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 28 Oktober 2024.

Pasangan itu bagaimanpun dilaporkan kembali rujuk pada Januari lalu, ketika dalam tempoh idah.

Namun pada Julai lalu, timbul desas-desus mengatakan rumah tangga mereka kembali bergolak tetapi tiada pengesahan dari penyanyi itu.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 6, dan Aryan, 4 dan Atta Adam yang kini berusia setahun.

Must-Watch Video

Advertisement